BEKAS kapten England, David
Beckham kini
mempertimbangkan langkah
seterusnya dalam kerjaya
gemilangnya apabila musim
Major League Soccer Amerika
Syarikat melabuhkan tirainya
pada 20 November ini dan
berharap dapat beraksi
sehingga usianya 40 tahun.
Dalam satu wawancara, dia
secara serius
mempertimbangkan untuk terus
kekal bersama Los Angeles
Galaxy tetapi jika berpindah, dia
hanya mahukan kelab yang
memberinya peluang tampil
dalam skuad utama secara kerap
bagi membolehkannya mencapai
cita-cita membantu skuad Britain
memenangi pingat emas di
Sukan Olimpik tahun depan.
Paris Saint-Germain, Tottenham
Hotspur dan Leicester City adalah
antara kelab yang menunjukkan
minat terhadap pemain berusia
36 tahun itu tetapi Beckham
turut mendedahkan dia juga
menerima beberapa tawaran
lain.
“Saya menerima banyak tawaran
dan boleh dikatakan terkejut
apabila pada usia seperti ini,
masih menerima banyak
tawaran. Ia cukup mengejutkan,”
katanya.
Bagaimanapun apa yang berlaku
kepada Beckham adalah
sekiranya dia kekal bersama LA
Galaxy, dia masih berpeluang
meneruskan kerjayanya yang
bermula sebagai pemain gantian
buat Manchester United dalam
perlawanan Piala Liga
menentang Brighton pada 1992.
Selepas hampir 19 tahun, dia
tampil bintang untuk LA Galaxy,
malam Ahad lalu ketika
menewaskan Chivas USA 1-0
untuk menamatkan musim ini
dengan rekod tanpa kalah di
tempat sendiri.
Selepas itu, dia melakukan larian
penghormatan kepada
penyokong Galaxy dan biarpun
bakal meninggalkan kelab itu
bulan depan, ia bukan
penampilan terakhirnya di laman
Home Depot Center dan Galaxy
mempunyai kelebihan di tempat
sendiri dalam perlawanan play-
off.
“Saya perlu melihat bagaimana
keadaan tubuh saya sebaik
perlawanan play-off berakhir
tetapi saya suka berada di sini
dan mungkin saya akan kekal di
sini, terutama jika keluarga saya
gembira.”
Beberapa kelab Liga Perdana
Inggeris turut berminat
mendapatkan Beckham tetapi
tidak mungkin dia akan kembali
ke England.
Sebelum ini dia menjelaskan
betapa sukarnya menentang
Manchester United dan sedar
bahawa kehendak corak
permainan bola sepak Inggeris
kini mencabar fizikalnya.
Dia tidak mahu menjadikan
dirinya sebagai sasaran
serangan dan bimbang jika
kepulangannya berakhir dengan
kegagalan apatah lagi sering
mengalami masalah belakang
dan mungkin menjejaskan
peluang Beckham untuk
disenaraikan sebagai pemain
paling senior dalam pasukan
Britain dalam Sukan Olimpik
tahun depan.
Dia tidak menunjukkan
kebimbangan dengan LA Galaxy,
di mana jurulatih, Bruce Arena
meletakkannya di posisi yang
membolehkan melakukan
hantaran dan hantaran lintang.
Musim ini, dia membantu 15
jaringan dan ini meyakinkannya
untuk terus beraksi sehingga
berusia 40 tahun. Ditanya sama
ada ia sesuatu yang realistik,
Beckham mengakuinya.
“Saya rasa begitulah. Apa yang
akan berlaku selepas ini, saya
tidak boleh berkata apa-apa
tetapi apa yang paling penting
dalam keputusan itu, apa saja
yang saya lakukan sama ada
kekal di sini atau menyertai PSG
atau apa saja, ia memberi
peluang kepada saya untuk
banyak beraksi kerana saya
mahu menjadi sebahagian
daripada Olimpik.
“Ia bukan satu rahsia. Menjadi
sebahagian daripada pasukan
adalah sesuatu yang
menakjubkan. Menjadi
sebahagian daripada semangat
Olimpik dan mampu menjulang
pingat emas untuk Britain adalah
matlamat utama saya.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan