Kuala Lumpur: Terbuka
Malaysia baru dua hari berlalu
namun skrip yang tertulis pada
2013 tetap sama seperti sejak
dua tahun lalu, apabila hanya
Datuk Lee Chong Wei (gambar)
menjadi pemain tunggal
negara yang terus gah di bumi
sendiri.
Kelmarin, bukan sekadar
merakam sejarah buat Chong
Wei meraih gelaran kesembilan,
melepasi rekod gelaran
terbanyak milik Wong Peng Soon,
lapan kejuaraan tapi lebih
penting, kemenangannya itu
setidak-tidaknya mengekalkan
reputasi Malaysia sebagai
penganjur bermaruah.
Pertama kali Chong Wei meraih
gelaran Terbuka Malaysia pada
2004, ketika itu Malaysia meraih
dua kejuaraan, termasuk beregu
lelaki yang dimenangi Choong
Tan Fook-Lee Wan Wah dengan
kedua-dua pemain itu kini
bergelar jurulatih.
Begitu juga dengan juara
perseorangan wanita, Zhang
Ning, beregu wanita Yang Wei-
Zhang Jiewen dan beregu
campuran Zhang Jun- Gao Ling
(China).
Chong Wei sekali lagi menutup
kegagalan Persatuan Badminton
Malaysia (BAM) menghasilkan
pemain berkualiti yang boleh
digolongkan barisan terbaik
dunia, sebagaimana yang sering
ditutur Presiden Datuk Seri Mohd
Nadzmi Salleh: “Kami tidak mahu
hanya melahirkan pemain
bertaraf dunia tapi menghasilkan
pemain yang boleh menewaskan
pemain terbaik dunia”.
Kejayaan dicapai Chong Wei itu
bukan mudah kerana bakatnya
menyinar ketika nama besar
seperti Chen Hong (China), Peter
Gade Christensen (Denmark) dan
Taufik Hidayat (Indonesia)
berada di puncak sekitar
2004-2006.
Malah ketika namanya meniti ke
puncak, Lin Dan sering
membayanginya dengan
merangkul setiap gelaran
kejohanan utama, namun
pemain China itu gagal memecah
monopoli anak kelahiran Pulau
Pinang ini.
Berdasarkan rekod, Chong Wei
menewaskan pemain berbeza di
setiap final sejak 2008.
Dia menewaskan pemain Korea
Lee Hyun Il (2008), Park Sung
Hwan (2009), Boonsak Ponsana
(2010), Chen Long (2011),
Kenichi Tago (2012) dan Sony
Dwi Kuncoro (2013).
Justeru, sudah tiba masanya bagi
pemain lain dalam pasukan
kebangsaan menjadikan
keazaman Chong Wei itu sebagai
contoh terbaik untuk menempa
kejayaan.
Merangkul kejuaraan Terbuka
Malaysia pada usia memasuki era
31 tahun bukan mudah, namun
dia masih menetapkan impian
untuk melengkapkan kejuaraan
ke-10 tahun depan.
Jika dilihat berdasarkan undian
Terbuka Malaysia, tiga pemain
negara termasuk Chong Wei
diletakkan selaku pilihan utama,
satu petanda kita memiliki tiga
pemain yang memiliki ranking
terbaik dunia dalam kejohanan
Siri Super kedua selepas Korea
bagi 2013.
Koo Kien Keat-Tan Boon Heong
dan Chan Peng Soon-Goh Liu
Ying pilihan utama dalam acara
beregu lelaki dan campuran,
namun keazaman mereka tidak
sama seperti Chong Wei yang
menetapkan mahu mengekalkan
gelaran sekali gus muncul juara.
Sebaliknya Kien Keat-Boon Heong
dan Peng Soon-Liu Ying memilih
untuk berkata: “Tengoklah, kami
akan melepasi satu-satu
perlawanan, kami tidak mahu
meletakkan tekanan kepada diri
sendiri untuk berjaya.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan