Rabu, 23 Januari 2013

Darul Takzim FC tamatkan kemarau kemenangan

Shah Alam: Selepas sekadar
seri pada dua perlawanan
terakhir, Johor Darul Takzim
(JDT) akhirnya menamatkan
kemarau kemenangan apabila
menewaskan PKNS FC 3-1 di
Stadium Shah Alam, malam
tadi.


Dibarisi ramai pemain berstatus
bintang, skuad kendalian Fandi
Ahmad itu bagaimanapun dilihat
bergelut pada awal permainan.

Sebaliknya PKNS lebih banyak
menguasai babak pertama
dengan tonggak import mereka,
Patrick Ronaldinho hampir
meletakkan tuan rumah di depan
pada minit ke-15, tetapi sepakan
percuma yang diambilnya terus
tepat ke arah penjaga gol Johor,
Mohd Zamir Selamat.

Tiga minit selepas itu, Johor
memperoleh gol pertama mereka
dengan Daniel Guiza sekali lagi
beraksi cemerlang apabila
membuat hantaran cantik dari
sebelah kanan ke dalam kotak
penalti sebelum penyerang
negara, Safee Sali menanduk
masuk ke gawang tuan rumah.

Safee sekali lagi hampir
menambah gol kedua tetapi
sepakan gunting dilakukannya
dalam kotak penalti pada minit
ke-38 sekadar melepasi palang
gol PKNS.

Guiza memperoleh peluang
terbaik untuk menjaringkan gol
pada minit ke-45, tetapi sepakan
percuma yang diambilnya terus
tepat ke arah penjaga gol PKNS,
Mohd Remezey Che Ros.

Bersambung babak kedua, Johor
terus garang, kali ini tandukan
Safee di depan gawang gol
berjaya ditampan Remezey dan
rembatan Guiza pula selepas itu
sekadar singgah di tepi tiang gol.

Safee sekali lagi hampir
menambah gol kedua pada minit
ke-51, tetapi rembatan
kencangnya dari jarak jauh dapat
dibaca Remezey.

Harimau Selatan akhirnya
memperoleh gol kedua menerusi
rembatan kencang Ahmad Ezrie
Shafizie pada minit ke-61.

Johor terus mengasak dan
memperoleh beberapa peluang,
terutama menerusi Safee tetapi
dia gagal melakukan tindakan
penyudah dengan baik.

Guiza akhirnya meledak gol
pertamanya pada perlawanan itu
dan ketiga buat Johor apabila
melakukan gerakan solo sebelum
merembat ke gawang lawan
pada minit ke-87.

Mohd Faiz Mohd Isa meraih gol
sagu hati tuan rumah pada masa
kecederaan.


KOMEN ANDA SANGAT PENTING UNTUK MEMATANGKAN DIRI SAYA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan