Selasa, 29 Januari 2013

Goyang Sambil Makan

Sebuah kedai makan di Taman
Bukit Sendayan, dekat sini,
dikesan ‘menyelitkan’ karaoke
dangdut berunsur ghairah
sehingga awal pagi pada setiap
hari bagi menarik
pelanggannya.


Tinjauan Harian Metro
mendapati, kedai makan yang
terletak jauh dari penempatan
penduduk ini umpama kelab
malam terbuka dan ‘padat’
dengan pengunjung pelbagai
peringkat umur.

Hampir setiap malam puluhan
kenderaan dipakir di tepi jalan
berkenaan yang menjadi lokasi
warga emas dan pertengahan
umur, lelaki dan perempuan
melepaskan geram dengan
berkaraoke sambil menari.

Terdapat pentas lengkap dengan
sistem audio dan lampu ibarat
berada dalam disko selain dua
khemah dipasang memuatkan
meja serta kerusi yang cukup
untuk menampung 100
pengunjung dalam satu-satu
masa.

Premis terbabit beroperasi
seawal jam 5 petang sehingga
jam 4 pagi, manakala waktu
karaoke bermula jam 9 malam
dan hanya bermodalkan RM5,
pelanggan boleh menyanyi untuk
tiga lagu atau satu lagu RM2.

Bagi mereka yang pertama kali
datang pasti terkejut dengan
suasana meriah ini dengan
kebanyakan lagu dinyanyikan
berirama dangdut selain irama
60-an dan moden.

Tinjauan mendapati, perlakuan
pelanggan lelaki dan perempuan
yang berkaraoke sambil menari
di pentas terbuka agak kurang
sopan di depan anak kecil selain
klip video dipaparkan
mengandungi aksi erotik
penyanyi dangdut dari negara
seberang.

Tanpa segan silu mereka
bergelek walaupun
kebanyakannya di usia senja dan
lebih menjengkelkan ada
pelanggan wanita yang
bertudung turut menari.

Ketika ditanya, kumpulan wanita
terbabit spontan menjawab
mereka ibu tunggal dan tiada
siapa melarang.

Didapati ramai antara mereka
pelanggan tetap kerana
mengenali antara satu lain, malah
kehadiran wartawan buat
pertama kalinya menjadi
perhatian mereka.

Seorang pelanggan tetap yang
mahu dikenali sebagai Nor, 50,
berkata, paling kurang dalam
seminggu dia berkunjung ke
kedai makan itu sebanyak tiga
kali.

Katanya, dia berkunjung ke situ
untuk menghilangkan
kebosanan selain bayaran untuk
karaoke adalah murah.

“Di sini tiada bezanya dengan
kelab dangdut dan saya seronok
kerana ramai antara pelanggan
di sini sudah menjadi kawan. “Di
sini tiada jualan minuman keras,
tetapi ada juga pelanggan yang
minum minuman keras yang
dibeli dari luar.

“Pemilik premis
sering mengingatkan pelanggan
supaya tidak mengambil
minuman keras atau dadah
kerana bimbang diganggu pihak
berkuasa,” katanya.
Menurutnya, jika mahu menyanyi,
pelanggan perlu datang awal jam
8 atau 9 malam dan jika lewat,
tempahan sudah penuh dan
hanya berpeluang menari.

Dia yang juga ibu tunggal
berkata, malam Jumaat paling
ramai pelanggan datang ke situ
untuk berhibur selain malam
minggu.

Katanya, ada kala pelanggan
terpaksa berdiri kerana tempat
duduk sudah penuh dan ketika
Ramadan, premis itu beroperasi
dan karaoke diadakan seperti
biasa selepas Tarawih.

“Tempat
ini pernah diserbu jabatan
agama satu ketika dulu, tetapi
tiada tindakan, mungkin
pemiliknya mengikut prosedur.

Cuma pelanggan ditegur supaya
berpakaian sopan,” katanya.

Pihak Majlis Agama Islam Negeri
Sembilan (MAINS) Port Dickson
ketika dihubungi berkata,
pihaknya tidak mempunyai kuasa
untuk menegah dan mengambil
tindakan kerana perniagaan
berkenaan di bawah bidang
kuasa pihak berkuasa tempatan
(PBT).

Sementara itu, jurucakap
Bahagian Pelesenan Majlis
Perbandaran Nilai (MPN) pula
berkata, pihaknya hanya
mengeluarkan lesen perniagaan
bagi mana-mana pusat hiburan
beroperasi sehingga jam 1 pagi
dan jika pemiliknya ingkar lesen
perniagaan akan ditarik balik.

“Dalam kes kedai makan terbabit,
pemiliknya memohon lesen
jualan makanan dan hiburan.

Kami akan menjalankan siasatan
berkaitan dan jika terbukti
berlaku perlanggaran mengikut
akta tindakan akan diambil
terhadap pemilik premis
berkenaan,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan