Selasa, 29 Januari 2013

Irwansyah Dan Isteri Bebas Kes Dadah

Pasangan suami isteri artis popular
Indonesia Irwansyah dan Zaskia Sungkar pada
Selasa dibebaskan daripada tahanan Badan
Narkotik Nasional (BNN) Indonesia setelah tidak
ada bukti yang boleh mengaitkan mereka dengan
kes penyalahgunaan dadah.


Lima suspek lain yang ditahan bersama mereka
dalam serbuan oleh sepasukan anggota BNN
dalam satu pesta dadah di kediaman rakan artis
popular Indonesia Raffi Ahmad di Lebak Bulus,
Jakarta Selatan pada hujung minggu lalu itu, turut
dibebaskan hari ini.

"Ujian air kencing ke atas Irwansyah dan Zaskia
didapati negatif. Siasatan dan saksi-saksi juga
memberitahu mereka tidak terlibat atau
ditemukan bukti untuk mendakwa mereka," kata
Ketua Pegawai Perhubungan Awam BNN Sumirat
Dwiyanto pada sidang akhbar di sini.

Zaskia berkata, beliau dan suaminya serta
pembantunya pergi ke rumah Raffi pada malam
itu hanya untuk menandatangani dokumen
perniagaan.

Sementara itu Irwansyah berkata sepanjang tiga
hari dalam tahanan BNN, mereka dilayan dengan
baik dan dijamu hidangan yang enak.

Pasangan suami isteri itu adalah antara 17
suspek yang ditahan dalam serbuan itu setelah
orang ramai memberi maklumat tentang adanya
pesta dadah di rumah Raffi.

Sehingga ini Raffi dan seorang lagi artis
Indonesia Wanda Hamidah, yang turut ditahan
dalam serbuan itu, masih menjalani siasatan oleh
badan anti dadah Indonesia itu.

Lima daripada suspek itu didapati positif
mengambil dadah manakala dua orang lagi
disyaki mengambil dadah jenis baharu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan