Isnin, 21 Januari 2013

Kehadiran Cahaya Mata Pendorong kerjayaan DLCW

KEHADIRAN cahaya mata dalam keluarga baru
Datuk Lee Chong Wei menjadi dorongan berharga
buatnya untuk lebih mencipta kejayaan.
Mensyukuri nikmat diberi, Chong Wei akui dia
perlu lebih bijak membahagikan masa antara
kerjaya dan keluarga.
Namun, pemain nombor satu dunia ini amat
bertuah kerana memiliki isteri amat memahami
kerjayanya.
“Pertama kali mengetahuinya, saya amat gembira
memandang usia kini makin meningkat. Tugas
paling penting sekarang adalah membahagikan
masa antara keluarga dan kerjaya,” katanya.
Chong Wei bagaimanapun tidak berharap
anaknya kelak mengikut jejak langkah beliau dan
Wong Mew Choo, sebaliknya memberi
kelonggaran buat si anak menentukan minat dan
masa depannya.
Berbalik kepada rentetan kejayaannya menakluk
Terbuka Malaysia buat kali kesembilan,
kemenangan Chong Wei semudah ABC.
Menewaskan saingan dari Indonesia, Sony Dwi
Kuncoro, 21-7, 21-8, tiada langsung tentangan,
namun bagi Chong Wei tekanan itu datang
daripada diri sendiri kerana keinginan membuak
untuk mempertahankan kejuaraan.
“Memang nampak seperti tiada apaapa yang
berlaku, nampak segalanya mudah sangat, tetapi
saya agak tertekan kerana mahukan kemenangan
dan gelaran kesembilan ini,” katanya yang bakal
memasuki umur 31, Oktober nanti.
Chong Wei mula menggenggam kejuaraan
Terbuka Malaysia pada 2004 hingga 2006.
Namun pada 2007, ia menjadi milik pemain
veteran Denmark, Peter Hoeg Gade sebelum
pemegang pingat Perak Sukan Olimpik 2012 itu,
sekali lagi memastikan trofi tersebut terus
menjadi miliknya mulai 2008 sehingga kini.
Sasaran Chong Wei selepas ini adalah Terbuka
Dunia pada Ogos nanti, selain memberi tumpuan
pada Seluruh England yang akan berlangsung
Mac ini.
“Chong Wei tidak akan menyertai banyak
kejohanan kerana usia, sebaliknya memberi
tumpuan pada kejohanan major sahaja,” kata
jurulatihnya Tey Sue Bock.
Sementara itu, bagi Sony, memasuki peringkat
akhir merupakan kejayaan luar biasa selepas
bergelumang kecederaan.
Tetap berbangga dengan kejayaan itu, dia akui
masih perlu memperbaiki banyak kelemahan
sebelum bergelar juara.
“Boleh lihat jurang antara saya dan Chong Wei.
Beliau terlalu sempurna dan saya perlukan dua
atau tiga langkah untuk berada di tahapnya,”
katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan