Los Angeles: Mikel Ruffinelli
tidak segan mempamerkan
pinggulnya, yang terbesar di
dunia dengan ukur lilit lebih
244 sentimeter.
Dalam keadaan sedemikian, ibu
empat anak itu terpaksa bergelut
untuk memasuki pintu dan
memerlukan dua tempat duduk
ketika menaiki pesawat.
Mikel, 39, yang seberat 190
kilogram (kg) terpaksa memandu
trak kerana tidak muat untuk
masuk ke dalam kereta. Dia juga
memerlukan sebuah kerusi yang
kuat untuk duduk dan berehat di
dalam rumah.
Bagaimanapun, wanita itu yang
hanya mempunyai berat 63kg
ketika berusia belasan tahun,
bangga dengan bentuk
tubuhnya. Dia tidak mempunyai
rancangan untuk menurunkan
berat badan meskipun sering
diejek.
“Ke mana saja saya pergi,
pinggul saya akan menjadi
tumpuan. Ada yang mengejek
dan ada yang memuji. Apabila
saya berjalan di jalan raya, saya
boleh mendengar bunyi klik
kamera telefon dan orang akan
mentertawakan saya. “Saya
pernah terdengar orang
sekeliling berkata, ‘Tengok
pinggulnya yang besar.’
Ada orang menyangka saya
menjalani pembedahan untuk
membesarkan pinggul saya.
Tetapi, ia sebenarnya asli.
Mungkin ia kesan daripada
mempunyai empat anak. Tetapi
keluarga saya memang
berpinggul besar,” kata wanita
itu.
MIKEL bangga dengan bentuk
badannya.
Mikel bersaiz normal seperti
kanak-kanak biasa ketika remaja.
Malah ketika berusia awal 20-an,
berat badannya hanya 82kg.
Tetapi, pada usia 22, beratnya
bertambah 25kg selepas
melahirkan anak pertama,
Andrew, yang kini 18. Selepas
anak kedua, Destynee, 13,
Autumn, lapan dan Justyce, tujuh,
dilahirkan, beratnya meningkat
mendadak dan pinggulnya terus
membesar.
Meskipun dengan bentuk
tubuhnya, Mikel hanya setinggi
195 sentimeter dan lilit
pinggangnya pula 102
sentimeter.
Mikel dari Los Angeles mengaku
berdepan dengan kesukaran
dalam menjalani kehidupan
seharian akibat saiznya itu.
“Saya perlu membeli tiket untuk
dua tempat duduk setiap kali
menaiki pesawat atau kereta api
kerana tak muat.
Ia sudah tentu mahal. Saya
sanggup memandu trak
daripada menaiki pengangkutan
awam kerana ia cukup besar
untuk saya.
Untuk berjalan menerusi ruang
yang sempit juga menjadi
masalah utama. Saya juga
terpaksa mengiring untuk
memasuki pintu masuk. Saya
tidak boleh menutup pintu bilik
air kerana pinggul saya tersekat.
Pernah berlaku satu kejadian di
mana saya tersepit dalam bilik air
dan tidak berdaya untuk keluar,”
katanya.
Namun, wanita itu masih dapat
menyertai kegiatan keluarga
seperti rutin untuk menyihatkan
tubuh di rumah dan bersiar-siar
di taman atau tepi pantai.
“Mencari pakaian yang sesuai
untuk bahagian bawah tubuh
menjadi satu cabaran. Saya juga
terpaksa menempah khas semua
pakaian dalam saya waktu ini,”
katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan