KEJUTAN! Itulah gambaran jelas yang dapat
dirasai oleh seluruh peminat tempatan selepas
berakhirnya perlawanan ke-23 Liga Perdana
Inggeris (EPL).
Mungkin ada pasukan yang berakhir dengan
persembahan bergaya seperti Chelsea,
Manchester City dan Liverpool tetapi, prestasi
Manchester United (MU) yang gagal meraih tiga
mata selepas seri 1-1 dengan Tottenham nyata
mengejutkan semua pihak terutama turun
sebagai pasukan pilihan.
Keputusan itu bukan sahaja mengecewakan Sir
Alex Ferguson, sebaliknya turut dirasai oleh
peminat yang mengharapkan pasukan itu meraih
tiga mata untuk terus melebarkan jurang mata.
Bagi Ferguson, keputusan itu bukan sahaja
mengecewakan beliau, tetapi turut menyebabkan
peluang mereka untuk melebarkan jurang mata
terjejas.
"Sebenarnya saya tidak kecewa dengan prestasi
pemain kerana kami telah melakukan begitu baik
dalam segala-galanya.
"Cuma yang dikesali adalah sikap pembantu
perlawanan yang gagal melakukan sesuatu
sedangkan kejadian tersebut berlaku dengan
jelas di depan mata," kata Ferguson.
Tambah Ferguson, "saya kecewa dengan beliau.
Kita tidak mempunyai rekod yang baik dengan
dia."
Semalam, Ferguson menyalahkan pembantu
pengadil perlawanan, Simon Beck yang
menyebabkan pasukannya hanya terikat 1-1
dengan Tottenham di White Hart Lane, awal
malam tadi (waktu Malaysia).
Jelasnya, penafian sepakan penalti yang dibuat
oleh Beck kepada Wayney Rooney menyebabkan
Spurs berjaya mengikat kedudukan dengan MU
sehingga menghalang misi mereka untuk
mendahului tujuh mata di depan Manchester City.
Begitu pun, dengan keputusan itu ia tidak
menggugat kedudukan MU sebagai peneraju liga
apabila masih utuh dengan mengumpul 56 mata
- lima mata di depan City yang mengutip 51 mata
setelah mengharungi 23 perlawanan setakat ini.
Dalam pada itu, hasrat City yang ingin merapatkan
jurang mata semakin hampir apabila
kemenangan 2-0 ke atas Fulham membuatkan
pasukan itu hanya lima mata perbezaan dengan
MU.
Pembantu Pengurus City, David Platt nyata lega
dan menyifatkan perlawanan itu sangat penting
untuk mengutip mata penuh.
"Jaringan David Silva sangat berharga, jika melihat
prestasinya sepanjang minggu ini, memang dia
berhak untuk meraih kemenangan itu," katanya.
Platt menambah, "walaupun kita telah mendapat
satu jaringan pada minit kedua tapi masih
membimbangkan, namun selepas jaringan gol
kedua barulah kami benar-benar lega."
Sementara itu, meskipun meraih kemenangan
tipis 2-1 ke atas Arsenal, pengurus sementara
Chelsea, Rafeal Benitez nyata gembira dan
menyifatkan usaha gigih yang ditunjukkan anak
didiknya selama ini merupakan faktor mereka
meraih tiga mata.
"Kami telah melakukan dengan baik dan
mewujudkan peluang dalam semua permainan
kami.
"Dalam perlawanan semalam, kami berhak untuk
menang. Ia hanya menunggu masa untuk kami
mempunyai prestasi seperti ini," kata Benitez.
Arsenal pula terus mempamerkan aksi hambar
buat kali ketiga berturut-turut apabila gagal
meraih tiga mata selepas terakhir melakukannya
ketika menentang Newcastle United, bulan lepas.
Selepas membenam Newcastle 7-3, Arsenal terus
gagal mengekalkan rentak cemerlang apabila
hanya seri 1-1 dengan Southampton sebelum
tewas kepada City dan Chelsea malam tadi.
Kekalahan ini terus menimbulkan kemarahan
peminat sehingga membuatkan peminat setia
The Gunners mula mempersoalkan kredibiliti
Pengurus Arsenal, Arsene Wenger.
Wenger mengakui kecewa dengan prestasi anak
buahnya terutama bahagian pertahanan yang
dilihat banyak melakukan kesilapan.
"Bahagian pertahanan kami tidak begitu kuat
untuk menyekat pemain Chelsea, sebaliknya
membuka peluang kepada mereka.
"Saya memang kecewa dan berharap kesilapan
ini dapat diperbaiki nanti," katanya.
Keputusan itu menyaksikan The Gunners berada
di tangga keenam - gagal berada di kelompok
lima terbaik dengan mengumpul 34 mata selepas
23 perlawanan setakat ini.
Selepas 23 perlawanan, MU kekal menerajui
kedudukan teratas dengan meraih 56 mata
disusuli City (51 mata), Chelsea (45 mata),
Tottenham (41 mata) dan Everton (37 mata).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan