Sabtu, 19 Januari 2013

Peluang Rapat Jurang Mata


Ketika pendahulu Liga Perdana, Manchester United hanya beraksi malam esok, juara bertahan Manchester City boleh merapatkan jurang kepada empat mata andai menundukkan Fulham, malam ini.
United dilihat terlalu unggul sejak akhir-akhir ini, meraih 31 mata daripada maksimum 33 untuk kekal mendahului tujuh mata di depan pasukan tangga kedua, City, yang pernah mensia-siakan pendahuluan 10 mata dalam tempoh sama.

Namun, esok United berkunjung ke Tottenham Hotspur, yang hanya kalah sekali dalam 10 perlawanan dan menang 3-2 di Old Trafford pada pertemuan terakhir kedua-dua pasukan, September lalu.
Dengan pasukan tangga ketiga, Chelsea turut bersedia dengan tugas sukar menentang Arsenal di gelanggang sendiri, malam esok, City berharap minggu ini menjadi permulaan kebangkitan mereka dalam perebutan kejuaraan.

Ketika United dan Chelsea kedua-duanya beraksi pada pertengahan minggu, United mengatasi West Ham pada perlawanan ulangan pusingan ketiga Piala FA dan Chelsea seri 2-2 dengan Southampton dalam liga, City mendapat faedah selepas berehat seminggu.

Anak buah Roberto Mancini mendapat suntikan semangat selepas rayuan kad merah kapten, Vincent Kompany yang diterima ketika menang 2-0 ke atas Arsenal hujung minggu lalu berjaya sekali gus membolehkannya beraksi menentang Fulham.
Sekalipun United tidak menunjukkan tanda-tanda merudum, pertahanan City, Pablo Zabaleta berkata, rakan sepasukannya belum putus harapan dan akan menggunakan inspirasi daripada cara mereka mengatasi anak buah Alex Ferguson dan merangkul kejuaraan liga musim lalu.

“Kami menentang pencabar, United yang amat bagus pada masa ini,” katanya.
“Mereka mempunyai kelebihan tujuh mata tapi ia tidak terlalu banyak dalam liga ini. Masih jauh perjalanan perlu ditempuhi sebelum kejuaraan diputuskan dan masih ada ruang untuk bangkit.

“Kami harap United keciciran mata dalam berdepan beberapa perlawanan dan kami meneruskan rentak ini, meraih tiga mata sepanjang masa.” Sementara itu, Liverpool yang menerima kunjungan Norwich City menyedari kemenangan ditambah kekalahan buat Spurs malam esok, akan membolehkan mereka berada enam mata daripada tempat ke Liga Juara-Juara.

Anak buah Brendan Rodgers kecundang 1-2 di tangan United hujung minggu lalu namun berita baik buat mereka adalah kembalinya penyerang Itali, Fabio Borini daripada kecederaan.

1 ulasan: