Isnin, 21 Januari 2013

Pemandu Teksi Ditahan Kerana Miliki Ganja 11 kg

SEREMBAN: Polis menahan
seorang pemandu teksi kerana
memiliki dadah jenis ganja
seberat 11 kg bernilai
RM30,800 dalam satu serbuan
ke atas sebuah premis
perniagaan ayam di Kampung
Chelet, Jalan Salak, Nilai Jumaat
lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah
Narkotik Ibu Pejabat Polis
Kontinjen Negeri, Supt Baharom
Othman berkata, lelaki berusia 44
tahun tersebut ditahan selepas
sepasukan anggota dari
bahagian narkotik Ibu Pejabat
Polis Daerah Nilai menerima
maklumat awam dan membuat
risikan ke atas premis tersebut.
"Semasa pemeriksaan ke atas
suspek yang turut berkerja
secara sambilan di premis
perniagaan ayam tersebut, polis
menjumpai satu paket kecil
lutsinar mengandungi dadah
disyaki ganja.
"Seterusnya siasatan ke atas
suspek telah dibuat dan akhirnya
suspek memberitahu ada lagi
dadah ditanam di dalam tanah di
kebun kelapa sawit kira-kira 50
meter dari premis tersebut,"
katanya kepada pemberita dalam
sidang media mengenai kes itu
di sini, hari ini.
Baharom berkata, lelaki tersebut
kemudiannya membawa
anggota polis ke bahagian
belakang premis terbabit dan
menunjukkan tempat dadah itu
ditanam sebelum pihak polis
menggalinya dan menemui
sebuah kotak mengandungi 11
ketul dadah mampat seberat satu
kilogram setiap satu.
Katanya, suspek yang
mempunyai enam rekod jenayah
lampau berkaitan dadah ditahan
reman sehingga Rabu ini bagi
siasatan lanjut dan memberitahu
kes tersebut disiasat dibawah
Seksyen 39B Akta Dadah
Berbahaya 1952.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan