Sabtu, 26 Januari 2013

Rajagobal Terdesak Mencari Pengempur




Di sebalik rasa terkilan dengan
masalah kecederaan pemain
dalam skuad kebangsaan,
pengurus Datuk Seri Subahan
Kamal tetap yakin barisan
pemain yang bakal menjalani
latihan pusat bersama ketua
jurulatih Datuk K Rajagobal
(gambar) bermula hari ini
mampu membentuk skuad
mantap bagi mengharungi
perlawanan kelayakan Piala
Asia 2015 menentang Qatar 6
Februari ini.


Antara pemain yang berada
dalam senarai kecederaan ketika
ini adalah K Gurusamy, Mohd
Bunyamin Omar dan Mohd Nor
Farhan Muhammad hingga
memaksa pengendali negara
memanggil dua lagi pemain
Abdul Shukur Jusoh dan Mohd
Fitri Omar dalam skuad 26
pemain itu.
Terbaru dikhabarkan penyerang
utama Mohd Safee Sali
mengalami kecederaan pada sesi
latihan Johor Darul Takzim dan
Rajagobal membuat keputusan
saat akhir memasukkan pemain
berpengalaman dari Selangor,
Mohd Amri Yahyah semalam.

Namun Subahan yang dihubungi
Arena Metro meredakan
perkhabaran kurang baik buat
skuad kebangsaan itu dengan
menyatakan kehadiran Amri
tiada kaitan dengan kecederaan
Safee.

“Saya difahamkan Safee
mengalami kecederaan tapi Amri
memang dalam perancangan
kami. Dia memiliki pengalaman
luas dan boleh beraksi di posisi
penyerang dan tengah. Jurulatih
pada mulanya mahu memanggil
Amirulhadi Zainal yang
cemerlang beraksi dengan
Pahang musim ini tapi
malangnya dia kini mengalami
kecederaan hamstring.

“Memang saya terkilan dengan
masalah kecederaan beberapa
pemain yang dipanggil menyertai
skuad kebangsaan kali ini tapi ini
tidak boleh dijadikan alasan
kerana saya harapkan pemain
lain yang diberi peluang tidak
mengecewakan,” katanya.

Selepas menjalani latihan pusat
tiga hari di Wisma FAM, Kelana
Jaya, skuad Harimau Malaya
berlepas ke Dubai bagi aksi
persahabatan antarabangsa
menentang Iraq pada 31 Januari.

Mereka kemudian akan berlepas
ke Doha bagi menghadapi misi
sebenar menentang Qatar pada
pusingan kelayakan Kumpulan D
Piala Asia 2015.

Bagi Subahan yang juga Naib
Presiden FAM, beliau
mengharapkan semua pemain
dapat memberikan aksi terbaik
dalam dua perlawanan
menentang pasukan handalan
negara Teluk itu.

“Iraq bekas juara Piala Asia 2007,
lawan yang kami anggap kuat
dan mereka akan menjadi
persiapan terbaik untuk skuad
negara sebelum berdepan
Qatar,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan