Rio de Janeiro: Penyerang
lincah, Ronaldinho diberi
peluang kedua oleh Brazil
ketika Luiz Felipe Scolari
menamakan skuad pertama
semalam selepas kembali
menjadi jurulatih pasukan
kebangsaan buat kali kedua.
Scolari yang membimbing Brazil
merangkul kejuaraan dunia
kelima pada 2002, dilantik
semula November lalu untuk
mengemudi pasukan merealisasi
misi memenangi kejuaraan
keenam di laman sendiri pada
2014 turut memanggil semula
penjaga gol, Julio Cesar.
Penampilan terakhir Ronaldinho
dan Julio Cesar, penjaga gol
utama Brazil dari 2007 hingga
2011 ketika menentang Bosnia
pada Februari tahun lalu.
“Saya mahu apa yang setiap
orang inginkan, mereka bermain
bola sepak dengan kemampuan
sebenar,” kata pengendali yang
dikenali sebagai Big Phil (Felipao)
apabila ditanya apa yang
dijangkakannya daripada
Ronaldinho dan penyerang
muda, Neymar.
“Tidak ramai boleh beraksi lebih
baik daripada mereka. Saya juga
mahu sikap yang baik. Saya
mahu mereka
bertanggungjawab tidak kira
berapa usia mereka.”
Ronaldinho, 32, keluar masuk
skuad Brazil sejak beberapa
tahun lalu dan terlepas aksi Piala
Dunia 2010 susulan
kemerosotan prestasinya
didakwa akibat gaya hidup yang
suka berpoya-poya.
Dia memuncak bersama
Barcelona, apabila diundi Pemain
Terbaik FIFA 2004 dan 2005,
menghabiskan tiga musim
kurang berjaya di AC Milan
sebelum menyertai Flamengo
pada permulaan 2011.
Dia meninggalkan kelab Rio de
Janeiro itu tahun lalu sebelum
mendapat nafas baru bersama
Atletico Mineiro.
Scolari menegaskan, beliau hanya
puas hati andai meraih gelaran
keenam tahun depan dan
mempunyai masa hampir 18
bulan untuk mempersiapkan
pasukan dengan hanya satu
kejohanan sebagai persediaan
iaitu Piala Konfederasi yang
dianjur Brazil, Jun ini.
Di sebalik berada di ranking
terburuk dunia, tangga ke-18,
Scolari yakin pasukannya mampu
merangkul kejayaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan