Sabtu, 26 Januari 2013

SALUN UNTUK BERMANJA

Ia dilabel sebagai kedai gunting
rambut atau salun, namun
anehnya sebahagian besar
pelanggan bukan ke situ untuk
menggunting rambut,
sebaliknya kerana ingin
menikmati pakej belaian manja
daripada wanita separuh umur
yang sebahagiannya layak
digelar nenek.


Dengan bayaran serendah RM10
untuk pakej selama 30 minit,
deretan kedai di Jalan Mustafa Al
Bakri, di sini, amat popular dalam
kalangan lelaki.

Ini kerana pakej disediakan itu
termasuk boleh memeluk dan
baring di atas riba ‘tukang
gunting’ wanita berpakaian seksi
biarpun berusia 40-an dan 50-
an, selain diurut seluruh tubuh di
atas sofa khas.

Tinjauan Harian Metro di satu
daripada premis itu mendapati di
ruang depan disediakan kerusi
untuk menggunting rambut yang
sudah usang, namun ia jarang
digunakan.

Ini kerana kebanyakan
pelanggan yang melanggan
pakej belaian manja dibawa ke
bahagian belakang premis yang
dilengkapi sofa empuk, selain bar
mini menjual minuman.

Bagi Presiden Pertubuhan
Kebajikan Wawasan
Kesejahteraan Insan Negeri
Perak (Wawasan) Fauzi Muda,
aktiviti tidak sihat salun belaian
manja itu wajar segera
dihentikan kerana ia satu kerja
maksiat dan boleh meruntuhkan
institusi kekeluargaan.

“Nyata mereka bukan
menjalankan perniagaan
menggunting rambut, tetapi
lebih kepada khidmat
berorientasikan seks, biarpun
bukan 100 peratus khidmat
pelacuran.

“Memandangkan
kegiatan ini sudah lama berlaku,
tindakan drastik perlu segera
dilakukan untuk
menghentikannya. Jika tidak
kesan negatifnya kepada
masyarakat pasti menjadi lebih
buruk,” katanya.

Menurutnya, ketika ini
sebahagian besar pelanggan
membabitkan golongan dewasa,
namun ada kemungkinan pada
masa akan datang, remaja
termasuk pelajar sekolah turut
bertumpu ke salun belaian manja
itu.

“Ini kerana caj dikenakan murah
iaitu RM10 dan saya percaya
faktor ini menyebabkan kegiatan
tidak bermoral terbabit amat
laris,” katanya.

Seorang pekerja restoran
berhampiran deretan salun
terbabit yang hanya mahu
dikenali sebagai Harun, 40,
berkata, kegiatan maksiat di situ
seolah-olah sudah menjadi
mercu tanda di jalan berkenaan
sejak lebih 10 tahun lalu.

Menurutnya, apa yang
ditawarkan pekerja wanita yang
sebahagiannya layak digelar
nenek itu bukan kepakaran
menggunting rambut, tetapi
lebih kepada khidmat belaian
kasih sayang untuk lelaki yang
kemaruk.

“Mungkin pelanggan terdiri
daripada lelaki sepi atau tidak
mendapat kasih sayang daripada
pasangan masing-masing.

Mereka biasanya datang jam 12
tengah hari hingga 7 malam.

“Di dalam salun, pelanggan
dilayan bagai raja kerana mereka
boleh baring di atas riba wanita
separuh usia itu sambil dibelai.

“Malah, pelanggan bebas merasai
kehangatan pelukan dan urutan
manja daripada wanita terbabit
tanpa membabitkan hubungan
seks,” katanya.

Seorang pelanggan salun yang
hanya mahu dikenali sebagai
Wan, 35, berkata, dia sering ke
situ kerana khidmat disediakan
disifatkannya lain daripada lain.

“Di sini, saya dilayan bagai raja.
Mereka (pekerja kedai gunting)
ini pandai mengambil hati, bijak
berkomunikasi dan memanjakan
lelaki. “Walaupun tua, tapi
mereka ini banyak pengalaman.
Ringkas kata, mereka tahu apa
yang lelaki mahukan,” katanya
yang belum berkahwin.

Ditanya sama ada dia berasa jijik
berdamping wanita warga emas
terbabit, Wan hanya tersenyum
dan mendakwa ia ‘terapi minda’
untuk menghilangkan tekanan
kerja.

“Saya dapat tahu ada pelanggan
yang berantakan rumah tangga
selepas isteri mereka
mengetahui hubungan mereka
dengan wanita kedai gunting ini.

“Malah, saya pernah melihat ada
wanita datang menyerang
pekerja kedai gunting ini yang
didakwa menjadi punca suami
mengabaikan tanggungjawab
mereka,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan