Ipoh: Perak gagal
memanfaatkan peluang beraksi
di laman sendiri apabila
sekadar seri 1-1 dengan
Selangor yang beraksi dengan
10 pemain dalam aksi Liga
Super di Stadium TLDM Lumut
malam tadi.
Rentak di awal permainan agak
perlahan apabila bola lebih
banyak berlegar di kawasan
tengah padang dengan jentera
kedua-dua pasukan gagal
mencipta peluang.
Perak berpeluang mendahului
permainan pada minit ke-27
apabila penyerang, Abd Hadi
Yahya berjaya menyepak masuk
bola lambungan Mohd Failee
Mohamad Ghazli namun jaringan
itu tidak disahkan pengadil,
Zulkifli Ahmad kerana didakwa
ofsaid.
Keputusan Zulkifli sekali lagi
mengundang kontroversi apabila
melayangkan kad kuning kedua
kepada Mohd Amri Yahyah pada
minit ke-41 atas kesalahan
membantah keputusan pengadil.
Kelebihan itu pantas diambil
skuad Seladang dengan
menggandakan asakan kali ini
menerusi rembatan Abd Hadi
namun penjaga gol pasukan
pelawat, Norazlan Razali pantas
menepis keluar bola untuk
mengekalkan kedudukan 0-0
menuju rehat.
Bersambung babak kedua, Perak
yang dibimbing Mohd Azraai
Khor Abdullah lebih
mendominasi permainan namun
itu tidak dapat menyekat
Selangor meraih gol pertama
menerusi rembatan jarak jauh
Francis Forkey Doe pada minit
ke-65 menerjah ke gawang.
Kedudukan itu tidak kekal lama
apabila kesilapan kapten
Selangor, Mohd Asraruddin Putra
Omar menarik Failee dalam kotak
penalti mengundang padah
apabila Zulkifli menghadiahkan
sepakan penalti kepada pasukan
tuan rumah.
Abd Hadi yang ditugaskan
mengambil sepakan itu tenang
menewaskan Norazlan bagi
menghasilkan gol pertamanya
bersama pasukan baru sekali gus
mengikat kedudukan 1-1.
Insiden tegang sekali lagi
tercetus apabila jaringan Khairul
Asyraf Shaizah pada minit ke-81
dibatalkan kerana ofsaid ketika
menerima hantaran Hadi di
depan pintu gol Selangor.
KOMEN ANDA DAPAT MEMOTIVASIKAN LAGI DIRI SAYA UNTUK TERUS MENULIS BLOG
Tiada ulasan:
Catat Ulasan