Chelsea berjaya mengelak
daripada menjadi mangsa
terbaru pada saingan Piala FA
apabila juara bertahan itu
melangkah ke pusingan kelima
selepas mencatat
kemenangan 4-0 ke atas
pasukan Divisyen Satu,
Brentford semalam.
Arsenal, Tottenham dan
Liverpool adalah antara kelab
gergasi Liga Perdana Inggeris
yang dimalukan pasukan liga
bawahan musim ini, tetapi
Chelsea bermula hambar.
Mujur jaringan pada separuh
kedua menerusi Juan Mata,
Oscar, Frank Lampard dan John
Terry pada perlawanan ulangan
semalam selepas sekadar seri
2-2 di Brentford sebelum ini,
menggembirakan penyokong di
Stamford Bridge.
Masih terlalu awal untuk
melabelkan pasukan kendalian
Rafael Benitez kembali berada di
landasan tepat selepas melalui
kempen yang tidak konsisten,
namun sekurang-kurangnya
keputusan itu mengelak mereka
daripada malu di hadapan
penyokong sendiri.
Chelsea yang memenangi Piala
FA sebanyak empat kali
sepanjang enam musim
terakhir, akan berkunjung ke
pasukan Liga Kejuaraan,
Middlesbrough untuk
menghadapi perlawanan
pusingan kelima pada 27
Februari ini.
Terry, kapten Blues yang baru
pulih daripada kecederaan lutut,
adalah antara pemain utama
yang membarisi skuad Chelsea
sekali gus membuktikan betapa
Benitez begitu menghormati
lawan mereka itu selepas
berjaya mengikat kedudukan
seri 2-2 di Griffin Park.
Chelsea dilihat bergelut pada
babak pertama dengan cubaan
Branislav Ivanovic tersasar,
begitu juga tandukan Mata.
Lampard juga beraksi
cemerlang apabila melorongkan
bola cantik kepada Oscar,
namun rembatan jarak dekat
pemain Brazil itu berjaya
dinafikan pertahanan lawan,
Harlee Dean. Aksi hambar
Chelsea itu di bawah kendalian
Benitez semakin menyukarkan
bekas pengendali Liverpool itu
dalam usahanya untuk
memenangi hati peminat dan
mereka sekali lagi secara
terbuka mengejek pengendali
dari Sepanyol itu di dalam
stadium sebagai rasa tidak puas
hati pemecatan pengurus
terdahulu, Roberto Di Matteo.
Chelsea bangkit pada separuh
masa kedua menerusi gol
pertama Mata yang merembat
deras menewaskan penjaga gol
Brentford, Simon Moore pada
minit ke-54. Gol pertama itu
mengurangkan tekanan Chelsea
yang kemudiannya terus
membunuh aksi cemerlang
Brentford.
Oscar menambah gol kedua
pada minit ke-68 sebelum
Lampard menjadikan
kedudukan 3-0 pada minit
ke-72.
Gol itu adalah jaringan ke-199
peribadinya sepanjang bersama
Chelsea sekali gus
menjadikannya penjaring
terbanyak kelab pada saingan
Piala FA.
Terry menambah derita
Brentford apabila menambah
gol keempat pada minit ke-81.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan