Ahad, 3 Februari 2013

Jangan Pandang Rendah Liverpool

Manchester: Pengurus
Manchester City, Roberto
Mancini memberi amaran
kepada pemainnya bahawa
Liverpool mampu menggugat
harapan mereka untuk meraih
gelaran juara ketika
pertemuan di Eastlands
malam ini.


Juara bertahan Liga Perdana
Inggeris itu mensia-siakan
peluang untuk memberi
tekanan kepada Manchester
United apabila mereka terikat
tanpa jaringan dengan QPR,
Rabu lalu dan mungkin
ketinggalan 10 mata kepada
pendahulu itu apabila turun
menentang Liverpool, nanti.

Jika United menewaskan Fulham
di Craven Cottage, misi City
mempertahankan gelaran
berada dalam bahaya dengan
Mancini sedar Liverpool
mempunyai pemain individu
berbakat yang mampu
menghadirkan masalah buat
pasukannya.

Biarpun pengurus Reds,
Brendan Rodgers meraih
keputusan tidak menentu
musim ini, beliau cuba
membentuk sistem baru di
Anfield dan Mancini percaya
Liverpool pasti memberi
ancaman menerusi pemain
seperti Luis Suarez dan Steven
Gerrard.

“Ada kalanya sukar untuk
membuat perubahan seperti
Liverpool,” kata Mancini.

“Rodgers mencatat beberapa
keputusan membanggakan, tapi
Liverpool sentiasa sebuah
pasukan yang kuat. Perlawanan
esok pastinya berbahaya buat
kami.” City tidak pernah bolos
sebarang gol tahun ini dan
mereka mengekalkan tujuh
perlawanan tanpa
membenarkan gawang mereka
dibolosi dalam semua
kejohanan, tetapi Mancini
berpendapat mereka perlu
menjaringkan lebih banyak gol
jika mahu merapatkan jurang
dengan United.

“Saya rasa pertahanan kami
semakin baik kerana seluruh
pasukan bekerja keras. Amat
penting untuk terus
mengekalkan rekod jaringan.

Kami mungkin boleh menambah
tujuh hingga sembilan gol,” kata
Mancini.

Mancini juga berharap
kesibukan United pada bulan ini
dan Mac, sewaktu mereka
menentang Real Madrid dalam
kelompok 16 pasukan terakhir
Liga Juara-Juara, akan
menjejaskan kutipan mata
dalam liga domestik.

“Ada dua perlawanan penting
buat United, jadi saya fikir
Februari dan Mac masa paling
sesuai untuk menentukan
kejuaraan ini,” katanya.

Sementara itu, penolong
pengurus Liverpool, Colin Pascoe
percaya gandingan penyerang
Suarez dan Daniel Sturridge
mampu menjadikan mereka
sebagai pemain pertama
membolosi gawang City tahun
ini.

Sturridge menyertai pasukan itu
dari Chelsea, bulan lalu pada
harga £12 juta (RM38.4 juta)
dan ketibaannya di Anfield
menyaksikan Suarez yang sudah
menjaringkan 22 gol, beraksi
lebih jauh dari kawasan gol
lawan, tetapi Pascoe percaya
strategi itu banyak membantu
mereka.

“Anda boleh melihat kedua-
duanya saling berhubung dalam
latihan dan perlawanan. Pemain
yang baik mampu menampilkan
gandingan mantap dan
keadaannya hebat setakat ini.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan