Isnin, 11 Februari 2013

Kubur Lama Ditengah Masjid Razaleigh



Mungkin ramai tertanya-tanya mengenai kubur
yang berada di tengah-tengah Masjid Razaleigh di
Bandar Lama, di Gua Musang, Kelantan. Ini kerana
belum pernah ditemui di mana-mana masjid
sama ada di dalam atau luar negara kubur orang
awam berada dalam masjid.


Kebanyakan mereka daripada kalangan ahli
jemaah terutama yang datang dari luar daerah ini
sudah tentu membuat pelbagai andaian
tersendiri, berikutan tidak mengetahui sejarah
sebenar yang berlaku apabila melihat kubur yang
dianggap pelik itu.

Diakui semakin sukar untuk menjejak sejarah
serangan komunis di Bandar Gua Musang
sebelum negara mencapai kemerdekaan pada 31
Ogos 1957 kerana kebanyakan orang lama yang
asal tinggal di bandar ini telah meninggal dunia.

Bagaimanapun, mujur masih ada rujukan
menerusi catatan sejarah dalam diari mengenai
serangan komunis itu yang ditulis sendiri bekas
Penggawa Hulu Kelantan ketika itu, Allahyarham
Nik Jaafar Nik Soh.




Mangsa sarat mengandung

Catatan sejarah itu masih sulit untuk diedarkan
kepada umum kerana masih disimpan anak
tunggal lelakinya sebagai kenangan walaupun
hanya orang tertentu sahaja boleh mendapatkan
salinan daripadanya sebagai bukti sejarah itu
benar-benar berlaku.

Sebenarnya kubur lama yang berada di tengah-
tengah Masjid Razaleigh itu adalah kubur seorang
wanita sarat mengandung, Allahyarham Nik Mah
Nik Soh, yang mati dibunuh komunis secara
kejam di dalam longkang berhampiran jalan
masuk masjid.

Serangan komunis itu yang pernah berlaku di
Gua Musang pada 4 Januari 1943 apabila ramai
orang Melayu ketika itu mati dibunuh dan hanya
seorang penggawa ketika itu, Allahyarham Nik
Jaafar yang berjaya melepaskan diri dari
kepungan komunis.
Nik Mah juga adik kepada Nik Jaafar gagal
melarikan diri pada masa serangan itu berlaku
kerana sarat mengandung.

Allahyarhamah itu
terpaksa berselindung di dalam longkang
tersebut namun diserang hendap pasukan
komunis yang menyerbu ke kawasan terbabit.

Dalam keadaan ketakutan ketika itu, penduduk
yang masih selamat mengusung jenazah Nik Mah
yang dalam keadaan berlumuran darah ke dalam
kawasan masjid sebelum membuat keputusan
tanam di bahagian tangga belakang masjid itu.

Pada waktu itu masjid berkenaan dibina dengan
kayu dan mampu menampung hanya kurang 100
jemaah sahaja sebelum diubah suai 50 tahun
kemudian untuk menampung bilangan jemaah
bertambah ramai menyebabkan kubur terbabit
berada di tengah-tengahnya.

Sejarah serangan komunis ketika itu juga
menyebabkan kebanyakan penduduk tidak boleh
tinggal setempat dan kerap berpindah dari satu
tempat ke tempat lain untuk mencari
perlindungan termasuk sanggup berjalan kaki
dalam hutan.

Berselindung dalam longkang

Allahyarham Nik Jaafar seperti yang tercatat
dalam tulisan sejarahnya beliau lari seorang diri
untuk meminta perlindungan di Balai Polis
Bertam.

Ini kerana kebanyakan rumah penduduk ketika
itu termasuk kuarters kereta api dan balai polis di
Gua Musang dibakar komunis yang mengganas
dan merosakkan semua harta benda penduduk.

Nik Mah dibunuh kejam serangan komunis itu
bersama 25 orang Melayu terperangkap ketika
berselindung dalam longkang berkenaan.

Ada juga yang dibunuh ketika cuba
menyeberangi Sungai Galas di belakang kedai
Jalan Besar untuk menyelamatkan diri.

Walaupun Gua Musang telah lama diwujudkan,
tetapi bilangan penduduk Orang Melayu tidak
ramai.

Tumpuan utama komunis berkampung di
Kampung Pulai yang selalu memeras ugut Orang
Melayu bagi merampas harta termasuk makanan.

Pendapatan utama penduduk ketika itu hanya
mengharapkan kepada hasil tanaman dan kerap
meminta bantuan kerajaan menerusi pejabat
daerah ketika itu terletak di Kuala Krai kerana
tanaman dimusnahkan komunis.

Dengan tersiarnya catatan sejarah mengenai
kubur Allahyarham Nik Mah dalam Masjid
Razaleigh itu dapat memperjelaskan lagi kepada
orang ramai berhubung perkara itu dan menjadi
kenangan sepanjang masa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan