Ahad, 3 Februari 2013

Nazmi,Ejen Main Teka Teki




Kuala Lumpur: Status
kepulangan mengejut Nazmi
Faiz Mansor ke Malaysia masih
mencetuskan tanda tanya
walaupun pemain berbakat
berusia 19 tahun itu seboleh-
bolehnya cuba meyakinkan
pihak media menerusi sidang
akhbar semalam bahawa dia
sendiri mengambil keputusan
untuk kembali ke tanah air.


“Saya sendiri membuat
keputusan ini dan saya juga
yang memilih untuk menyertai
PKNS FC.

“(SC) Beira Mar dan saya sudah
mencapai persetujuan bersama,
iaitu mereka melepaskan saya.
“Jadi khabar angin yang
menyatakan saya dipinjamkan
ke kelab ini selama enam bulan
dan akan kembali semula ke
Beira Mar, tidak benar. Saya
sudah bebas sepenuhnya
daripada Beira Mar dan tak akan
kembali ke sana,” katanya pada
sidang media
memperkenalkannya sebagai
pemain baru PKNS FC, semalam.

Namun di sebalik jawapannya
itu, Nazmi seolah-olah membuat
kenyataan yang bercanggah
apabila menegaskan keputusan
untuk pulang ke Malaysia dibuat
dalam tempoh yang begitu
singkat.

“Keputusan yang dibuat ini
memang tidak dijangkakan,
keputusan yang saya buat
secara mengejut.

“Apapun, saya fikir keputusan
ini terbaik untuk saya. Tiada
desakan mana-mana pihak,”
katanya yang sering diganggu
ejennya, Marco Guimaraes
apabila pihak media
bertanyakan soalan ‘panas’.

Malah Guimaraes sendiri gagal
memberikan jawapan
meyakinkan ketika ditanya
mengenai kepulangan Nazmi ke
Malaysia.

“Saya rasa kami dijemput ke sini
untuk memperkatakan
mengenai kelab baru Nazmi,
iaitu PKNS dan bukannya Beira
Mar, FAM (Persatuan Bola Sepak
Malaysia) atau sebagainya,”
katanya.

Ditanya adakah FAM
dimaklumkan mengenai
kepulangan Nazmi, Guimaraes
sekadar berkata: “Kenapa perlu
babitkan FAM?” Sementara itu,
Presiden PKNS FC, Noor Hisham
Mohd Ghouth berkata, Nazmi
sudah mengikat kontrak tiga
tahun bersama pasukan yang
beraksi di Liga Super itu dengan
membabitkan sejumlah yuran
perpindahan yang enggan
didedahkan.

“Untuk dapatkan Nazmi bukan
sesuatu yang dirancang. Kami
didatangi ejennya yang
menyatakan kontrak Nazmi
dengan Beira Mar sudah tidak
ada lagi.

“Bermakna Nazmi bebas untuk
bermain dengan mana-mana
kelab. Dia diberi pilihan dan
PKNS menjadi pilihan utama
Nazmi,” katanya.
Noor Hisham berkata, pihaknya
akan bertemu dengan
pengurusan Persatuan Bola
Sepak Malaysia (FAM) esok bagi
membincangkan mengenai
kepulangan Nazmi serta
berharap FAM dapat memberi
lampu hijau untuk pemain
tengah itu beraksi dengan
kadar segera.

Jika mengikut peraturan, Nazmi
hanya boleh dibenarkan
bermain ketika jendela
perpindahan pemain kedua
yang akan dibuka pada April.

Arena Metro semalam
melaporkan penjelasan bapa
Nazmi, Mansor Mustapha yang
tidak mahu kepulangan anaknya
itu disalahertikan, sebaliknya
menganggap keputusan itu
sebagai sesuatu yang baik bagi
meneruskan karier Nazmi.

sumber:harian metro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan