Khamis, 21 Februari 2013

"Pengadil Di Tahap Amatur"



Selepas sekian
lama berdiam diri akhirnya
Presiden Persatuan Bola sepak
Negeri (PBNJ), Tunku Ismail
Sultan Ibrahim (gambar)
meluahkan rasa tidak puas
hati dengan mutu pengadilan
saingan Liga Malaysia (Liga M)
yang boleh ditakrif masih
berada di tahap amatur ketika
bola sepak di Malaysia sudah
lama di era profesional.


Tunku Ismail nyata kecewa
dengan mutu pengadilan yang
langsung tidak berkualiti apabila
kerap membuat keputusan
meragukan, terutama kesalahan
yang begitu jelas dilakukan
pasukan lawan, bagaikan tidak
endah sebaliknya menghukum
kesalahan yang dilakukan
pemain Johor Darul Takzim.

Katanya, mutu pengadil yang
tidak berada di tahap
memuaskan bukan saja
membabitkan aksi Johor Darul
Takzim, malah boleh dikatakan
semua pasukan yang bersaing
pada kancah Liga M juga
kecewa dengan kegagalan
pengadil mengawal perlawanan
dan sudah tiba masa Persatuan
Bola sepak Malaysia (FAM)
mengambil langkah drastik
untuk meningkatkan lagi mutu
pengadilan.

“Saya hormati Presiden FAM,
Sultan Ahmad Shah dan
Timbalan, Tengku Abdullah
Sultan Ahmad Shah tetapi apa
yang saya ingin persoalkan
tindakan lanjut daripada
pegawai FAM berhubung mutu
pengadilan yang lemah dan saya
difahamkan ketika saingan liga
berehat selama tiga minggu
semua pengadil menjalani
kursus namun tiada sebarang
peningkatan yang ditunjukkan.

“FAM harus bertindak segera
untuk memperbaiki apa jua
kelemahan yang membabitkan
pengadil dalam saingan Liga M
dan harus memastikan semua
pengadil yang bertugas pada
aksi liga berkualiti.

“Kita sudah buat pelaburan
besar bagi memastikan mutu
bola sepak di Johor ditingkatkan
tetapi usaha itu akan sia-sia
seandainya pengadil gagal
berfungsi dengan baik yang
menjejaskan rentak permainan
bukan saja kepada Johor Darul
Takzim bahkan membabitkan
pasukan lain dalam saingan Liga
M,” katanya pada sidang media
tergempar di Hotel Thistle, di
sini, tengah malam kelmarin.

Bagi mengukuhkan bukti
betapa mutu pengadilan masih
lemah, Tunku Ismail
menegaskan satu salinan
rakaman perlawanan
membabitkan Johor Darul
Takzim dan beberapa pasukan
lain akan diserahkan kepada
FAM untuk dinilai dan turut
disusuli dengan surat rasmi.

“Hargailah keringat pemain
yang bertungkus lumus di
padang kerana mereka
menjalani latihan pada sesi pagi
dan petang dan beraksi pada
saingan Liga M tapi jika mutu
pengadilan tidak berkualiti ia
pasti menjejaskan rentak
permainan sekali gus
menjatuhkan moral pemain itu,”
kata Tunku Ismail.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan