Selasa, 12 Februari 2013

Red Warriors Intai Aristide Bance

EKORAN prestasi hambar jentera serangan The
Red Warriors (TRW), Persatuan Bola Sepak
Kelantan (Kafa) terus mengorak langkah
memburu seorang lagi penyerang import
berprofil tinggi bagi pasukannya.


Terbaharu, penyerang kebangsaan Burkina Faso,
Aristide Bance disebut-sebut berada dalam radar
Kelantan bagi memperkuatkan pasukan juara tiga
piala itu mengharungi baki saingan Liga Malaysia
(Liga-M) musim ini.

Ini perkukuhkan lagi menerusi kenyataan
Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa, yang
membayangkan kesediaan beliau mendapatkan
seorang lagi penyerang import daripada benua
Afrika apabila jendela pendaftaran pemain dibuka
awal April nanti.

“Pemain ini masih mempunyai kontrak bermain
dengan sebuah kelab. Saya baru mendapat
laporan daripada ‘scouting’ dua hari lalu dan
rundingan awal juga sudah pun dilakukan. Jika
ini menjadi kenyataan, kita akan susun semula
pemain import yang akan bermain untuk Liga-M
dan Kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia
nanti,” katanya kepada Sinar Harian.

Malah sumber dalaman Kafa turut mendedahkan
nama penyerang yang berketinggian 1.93 meter
itu turut dibincangkan dalam satu mesyuarat
tertutup pihak pengurusan Kafa di Kota Bharu,
baru-baru ini.

“Kita masih belum membuat keputusan mengenai
Aristide Bance kerana ia melibatkan kos yang
agak tinggi jika mahu membawa pemain ini ke
Kelantan. Yang pasti namanya disebut dalam
mesyuarat tersebut,” katanya.

Annuar sebelum ini menerusi laman sosialnya
pernah menyatakan minat terhadap pemain
kebangsaan Togo, Moustapha Salifou, 29 yang
kini menyarung jersi Saarbrucken yang beraksi
dalam Divisyen Tiga Jerman.

Bance dilahirkan di Abidjan, Ivory Coast sebelum
berhijrah ke Burkina Faso dan abang iparnya
juga merupakan pemain bola sepak profesional,
Aruna Dindane. Beliau pernah mewakili kelab Al-
Ahli Dubai dan FSV Mainz 05 (Jerman) antara
tahun 2008 hingga 2010 dan beraksi sebanyak
72 perlawanan.

Beliau baharu sahaja menamatkan tugasan
bersama Burkina Faso dalam Kejohanan Bola
Sepak Piala Negara Afrika 2013 yang
menyaksikan negaranya muncul naib juara
setelah tewas 0-1 kepada Nigeria dalam
perlawanan akhir, pagi semalam.

Pemain berusia 28 tahun itu kini beraksi dengan
kelab FC Augsburg dalam Bundesliga, Jerman dan
difahamkan mengikat kontrak selama dua tahun
sehingga 30 Jun 2015 dengan bayaran
RM2.6juta.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan