DUNGUN – Dua wanita yang singgah solat di
sebuah masjid dekat sini, menjadi mangsa
terbaru penjenayah bersenjatakan parang
panjang yang berjaya melarikan beg tangan
mangsa.
Kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu dipercayai
berlaku ketika mangsa, Juliana Omar, 28, bersama
seorang rakannya singgah di Masjid Mukim
Kampung Kuala Abang untuk menunaikan solat
Zohor.
Bagaimanapun sebaik selesai solat, mangsa
terpandang kelibat seorang lelaki bersenjatakan
parang panjang di pintu masuk ruang solat
wanita.
Juliana yang dihubungi berkata, suspek yang
memakai topeng kemudiannya meluru ke
arahnya menyebabkan dia ketakutan dan cuba
melarikan diri, namun suspek telah menghalang
mangsa dengan mengacukan parang panjang
selain turut mengugut untuk membunuhnya.
“Dia mengacukan parang ke arah saya sambil
mengugut membunuh saya jika enggan
menyerahkan beg tangan.
“Saya terpaksa akur kerana takut dicederakan,
kejadian itu benar-benar membuatkan saya
trauma,” kata Juliana.
Suspek yang berjaya mendapat habuan
kemudiannya melarikan diri dengan sebuah
kereta Perodua Viva putih.
Juliana kemudiannya membuat laporan polis di
Balai Polis Dungun kira-kira jam 10.30, malam
semalam.
Mangsa yang berasal dari Tebing Tembah serta
rakannya kerugian lebih RM10,000 setelah dua
beg tangan mereka yang mengandungi wang
tunai, telefon bimbit, barang kemas, dokumen
serta kunci kenderaan dikebas penyamun
terbabit.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd
Noor, mengesahkan kejadian dan suspek kini
masih diburu polis.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat atau
melihat individu mencurigakan menaiki kereta
Perodua Viva putih boleh menghubungi polis di
talian 09-8482222,” katanya.
Sementara itu dalam kes berasingan, seorang
penagih dadah yang menyewa bilik penginapan
sebuah resort ditahan polis.
Ketika serbuan dilakukan sepasukan polis dari
bahagian siasatan jenayah narkotik kira-kira jam
3.30 petang kelmarin, suspek dikatakan baru
keluar dari bilik mandi sementara menunggu
kekasihnya tiba.
Bagaimanapun, segalanya terbongkar apabila
pemeriksaan polis menemui dua biji pil disyaki
dadah jenis methapethamine dalam poket
seluarnya.
Selain dadah turut ditemui ‘ubat kuat’, kondom
serta pakaian wanita dipercayai milik kekasihnya.
Suspek, berusia 30an difahamkan seorang
pekerja di pelantar minyak dan hasil ujian
saringan air kencing mendapati dia positif dadah
methapethamine dan dia kini ditahan reman
untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 12(2) dan
15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
SUMBER: SINAR HARIAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan