Khamis, 28 Februari 2013

Shabery:Artikel 88 FAM Perlu Dikaji,Jangan Bercanggah Dengan FIFA

MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad
Shabery Cheek mahu Persatuan Bola Sepak Malaysia
(FAM) memastikan Artikel 88 dalam statutnya tidak
bercanggah dengan peraturan Persekutuan Bola
Sepak Antarabangsa (Fifa).


Katanya, jika benar bercanggah, FAM harus
melakukan pengubahsuaian.

"Kita perlu lihat isu ini, saya bimbang nanti sebuah
organisasi seperti FAM akan mengalami masalah lain
yang mungkin parah," katanya kepada pemberita
selepas menyaksikan majlis menandatangani
memorandum persefahaman penyerahan hak
penganjuran sukan ekstreme Sasuke 2013, di
Putrajaya, hari ini.

Artikel 88 itu yang memperuntukkan hanya presiden
dan setiausaha FAM boleh mengkritik badan
berkenaan mencetuskan kontroversi apabila ramai
pemimpin anggota gabungan FAM dikenakan
tindakan disiplin kerana melanggar peraturan
tersebut.

Terkini ialah Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis,
Datuk Seri Shahidan Kassim yang digantung dua
tahun enam bulan serta didenda RM39,000 kerana
mengkritik badan induk bola sepak tanah air itu.

Tahun lepas Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar
Musa yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak
Kelantan digantung dua tahun setengah kerana
kesalahan sama.

Sebelum ini dua bekas naib presiden FAM iaitu Datuk
Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar dan Allahyarham
Datuk Ahmad Basri Akil turut dihukum FAM.

Mengulas lanjut, Ahmad Shabery juga menyarankan
anggota gabungan FAM agar menyuarakan rasa
tidak puas hati mereka berhubung Artikel 88 itu
pada mesyuarat agung badan berkenaan.

Mengulas isu lain, Ahmad Shabery meminta semua
pasukan negeri meneliti dengan sebaik-baiknya latar
belakang calon pemain import sebelum dibawa masuk
ke negara ini.

Langkah itu bagi mengelak insiden yang menimpa
pasukan Selangor apabila pemain importnya Ramez
Dayoub dikenakan tindakan penggantungan seumur
hidup oleh Persatuan Bolasepak Lubnan kerana
mengatur perlawanan ketika mewakili negaranya.

"Kalau sudah digantung oleh persatuan di sana,
peraturan disiplin itu perlu dipatuhi oleh Selangor.

Kita tidak boleh ambil pemain yang telah dikenakan
tindakan di negara asal," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan