
Datuk Seri Shahidan Kassim akan
mengemukakan rayuan kepada Presiden Persatuan
Bola Sepak Malaysia (FAM) Sultan Ahmad Shah
berhubung hukuman yang dikenakan ke atasnya.
Menurutnya, hanya baginda yang boleh menerima
rayuannya setelah Jawatankuasa Disiplin FAM
menghukumnya tanpa bicara dan tidak dibenarkan
membuat rayuan.
Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis itu digantung
dua tahun setengah dan didenda RM39,000 kerana
melanggar Artikel 88 Status FAM setelah mengkritik
badan itu.
Sepanjang tempoh penggantungan, Shahidan dilarang
melibatkan diri dengan mana-mana aktiviti persatuan
bola sepak dan tidak boleh mengemukakan rayuan.
Shahidan memberitahu pemberita di sini hari ini,
beliau belum menerima surat hukuman itu.
"Saya telah dihukum tanpa disiasat. Saya mengajak
rakyat Malaysia bersembahyang hajat (mengenai kes
ini)," katanya.
Beliau berkata, rayuan kepada Presiden FAM
bertujuan mendesak FAM menyiasat kes itu dan
membicarakannya.
"Saya tak ada kuasa (dalam hal ini) tapi saya ada
pengaruh (dalam sukan ini)," katanya.
Shahidan berkata beliau telah memaklumkan kepada
para pegawai dan pemain Perlis bahawa beliau tidak
lagi boleh aktif dalam kegiatan bola sepak tetapi
mereka tetap mahukannya terus bersama mereka dan
ketiadaannya pasti menjejaskan semangat para
pemain.
Beliau berharap seorang pemangku presiden dilantik
segera bagi memastikan perjalanan Persatuan Bola
Sepak Perlis berjalan lancar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan