LONDON: West Bromwich
Albion berharap dapat
melupakan gangguan yang
dicetuskan Peter Odemwingie
ketika mereka melayan
kunjungan Tottenham Hotspur
di The Hawthorns malam ini.
Kedua-dua pasukan tidak
banyak membuat rombakan
sejak pertemuan awal musim ini
dengan kurangnya pembabitan
dalam musim perpindahan.
Ia bukan membabitkan pemain
yang mereka perlukan tetapi
pemain yang cuba
dipertahankan kedua-dua kelab
menjadi tumpuan pada hari
terakhir perpindahan.
Spurs dijangka terus
menggunakan khidmat Gareth
Bale dan Gylfi Sigurdsson, tetapi
kisah pelik Odemwingie
pastinya lebih diingat
berbanding perpindahan lain
musim ini.
Selepas beberapa minggu
mengkritik Baggies dalam
akaun Twitter miliknya,
Odemwingie kemudiannya cuba
berbincang dengan Queen's
Park Rangers (QPR) pada hari
terakhir perpindahan.
Biarpun tiada perjanjian dibuat
di antara kedua-dua kelab,
Odemwingie hadir di Stadium
QPR, Loftus Road, tetapi diminta
supaya tidak meninggalkan
keretanya kerana QPR enggan
bercakap dengannya bagi
menghormati West Brom.
Penyerang Nigeria itu kemudian
hadir di pusat latihan Baggies,
pagi kelmarin, tetapi diminta
pulang selepas pegawai kelab
itu bermesyuarat. Pengurus
West Brom, Steve Clarke
mengesahkan pemain itu tidak
mendapat kebenaran untuk
berbincang dengan QPR.
“Dia tidak diberikan kebenaran
untuk pergi,” kata Clarke. “Dia
anggap kontrak itu dapat
diselesaikan dalam satu hari.
Saya juga berfikir mengenai
perkara yang sama. Ia sesuatu
yang gila kerana dia tidak
mendapat kebenaran untuk
berbincang dengan QPR.” Clarke
turut mengesahkan
Odemwingie tidak akan
diturunkan untuk menentang
Spurs.
“Peter tidak berada di tahap
terbaik untuk menentang Spurs.
Ini adalah demi kepentingan
pemain lain. Peter akan kembali
berlatih apabila kami
memutuskan masa yang sesuai
untuknya. Kami akan mengambil
tindakan disiplin terhadap Peter
dan ia akan dilakukan secara
rahsia.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan