'Tiada layanan
istimewa’ akan diberikan oleh
jurulatih Ong Kim Swee
kepada Muhamad Nazmi Faiz
Mansor sebaliknya pemain
muda berbakat yang
membuat keputusan mengejut
pulang ke tanah air dari
Portugal untuk menyarung
jersi PKNS FC itu perlu berada
pada prestasi terbaik jika
mahu berada dalam skuad
bawah 23 tahun negara (B-23)
ke Sukan Sea Myanmar hujung
tahun ini.
Sikap ‘tidak pilih bulu’
pengendali negara itu pastinya
satu cabaran buat Nazmi, 19,
yang terpaksa menunggu
sehingga April ini untuk
membuat penampilan bersama
pasukan Liga Super itu selepas
meninggalkan kelab SC Beira-
Mar.
Kim Swee berkata, prestasi
Nazmi akan dinilai sama seperti
pemain luar yang tidak mewakili
Harimau Muda A dan buat masa
ini tiada perancangan untuk
menyenaraikan pemain tengah
itu bersama skuadnya bagi
perlawanan persahabatan
menentang skuad kebangsaan
Myanmar di Yangon, 22 Februari
ini dan ke Slovakia selama lima
bulan bermula 15 Mac depan.
“Buat masa ini, Nazmi tiada
dalam perancangan ke Yangon
dan Slovakia kerana saya
difahamkan statusnya kini
sedang dirujuk oleh
Jawatankuasa Status FAM. “Dia
sekarang sudah menjadi hak
milik kelab PKNS, jadi segala
keputusan perlu merujuk
kepada PKNS terlebih dulu
kerana dia bukan pemain
Harimau Muda. Bagi saya
mudah, jika dia mempamerkan
permainan yang baik, sudah
pasti saya akan memanggilnya
untuk menyertai skuad ke Sukan
Sea.
“Tapi untuk mendapat penilaian
itu, dia haruslah beraksi dalam
kesebelasan utama pasukannya
setiap minggu, sama dengan
pemain luar yang lain seperti K
Reuben (ATM), Nik Shahrul Azim
Abd Halim (Kelantan) dan Zubir
Azmi (Terengganu). Saya tidak
akan memberikan layanan
istimewa kepada mana-mana
pemain, semua pemain akan
dinilai berdasarkan prestasi
semasa,” katanya ketika
dihubungi Arena Metro
semalam.
Nazmi yang mengikat kontrak
tiga tahun bersama PKNS tidak
dibenarkan beraksi apabila
kempen Liga Super kembali
bersambung Jumaat ini selepas
permohonan pihak pengurusan
kelabnya ditolak oleh FAM.
Buat masa ini pemain kelahiran
Kuala Lumpur yang menjadi
tonggak skuad B-23 negara
mempertahankan pingat emas
Sukan Sea Jakarta 2011 itu
hanya menjalani latihan
bersama PKNS di bawah
kendalian Abdul Rahman
Ibrahim sehingga jendela
perpindahan pemain dibuka
pada April depan.
Dalam pada itu, skuad Harimau
Muda A akan kembali
menyambung latihan hari ini
selepas diberikan cuti lima hari
selepas pulang dari Australia
Khamis lalu bagi persiapan
menghadapi Myanmar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan