TUMPAT - Penyanyi lagu-lagu dikir barat terkenal
Kelantan, Zaidi Mohamad, 46, yang lebih dikenali
sebagai 'Zaidi Buluh Perindu', meninggal dunia di
Hospital Tumpat akibat serangan jantung, di sini hari
ini.
Zaidi jatuh dan pengsan ketika membuat
persembahan dikir barat untuk menyambut ketibaan
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri
Noh Omar di Kompleks Perikanan Lembaga Kemajuan
Ikan Malaysia (LKIM) Geting, di sini, pada 10.35 pagi
dan disahkan meninggal dunia di hospital itu pada 11
pagi.
Allahyarham yang menetap di Kampung Bunut
Sarang Burung, di sini, meninggalkan seorang isteri,
Zaharina Mohamad, 47, dan tujuh anak berusia
antara 11 hingga 28 tahun.
Allahyarham turut merakamkan lebih 100 album
sejak berkecimpung dalam dunia dikir barat sejak 20
tahun lepas, dan mula terkenal selepas lagu dikir
barat bertajuk 'Juwita' mendapat sambutan
menggalakkan daripada penduduk negeri ini.
Zaharina ketika ditemui di rumahnya berkata beliau
reda dengan pemergian suaminya namun terkilan
kerana hajat Zaidi untuk menunaikan umrah pada
April ini tidak tercapai.
"Pagi ini arwah sempat bersarapan sebelum turun
membuat persembahan dikir barat di Kompleks LKIM
itu. Saya tidak syak apa-apa sehinggalah menerima
panggilan mengatakan arwah meninggal dunia,"
katanya.
Sementara itu, Noh turut meluangkan masa melawat
keluarga Zaidi selepas selesai merasmikan Restoran
Sri Nelayan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK)
Tumpat serta menyampaikan elaun sara hidup tunai
Parlimen Tumpat dan Pengkalan Chepa di LKIM
Geting di sini.
Turut hadir Adun Pengkalan Kubor Datuk Noor
Zahidi Omar; Naib Ketua Umno Tumpat Wan Hanapi
Wan Yaakob dan Pengarah LKIM Kelantan, Wan
Mohd Adnan Wan Ibrahim.
Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam
Kampung Bunut Sarang Burung selepas solat Asar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan