DUNGUN – “Sebaik tiba di rumah, saya memanggil
namanya beberapa kali tetapi tidak ada jawapan.
Apabila saya cuba buka pintu bilik, ia tertutup rapat.
"Saya terpaksa menggunakan sepenuh tenaga untuk
menolak pintu, namun saya terkejut, sebaik pintu
dibuka, saya lihat dia dalam keadaan tergantung,”
kata Maznah Kasim, 54, ibu kepada Fauzi Mohd Rosli,
29, yang ditemui mati tergantung di rumahnya, dekat
sini, tengah hari semalam.
Kejadian berkenaan disedari Maznah yang ketika itu
pulang ke rumah untuk makan tengah hari sebelum
dikejutkan dengan penemuan mayat anak lelakinya
itu.
Menurut Maznah yang ditemui di Unit Forensik
Hospital Dungun, tiada perubahan pelik ditunjukkan
arwah cuma anak lelakinya itu dikatakan banyak
berdiam diri sejak belakangan ini.
Maznah yang bekerja di sebuah kilang papan
berdekatan berkata, arwah sebelum ini menghadapi
krisis rumah tangga dan bercerai dengan isterinya
setelah dikurniakan seorang anak yang kini berusia
setahun.
“Saya benar-benar terkejut apabila mendapati dia mati
dalam keadaan begitu. Saya melepaskan ikatan tali
yang terjerut di leher bagi menyelamatkannya, namun
dia sudah pun meninggal dunia,” kata Maznah.
Seorang rakan mangsa yang enggan dikenali berkata,
dia mendapat tahu daripada seorang rakan lain
bahawa arwah yang bekerja sebagai pemandu
jengkaut menceritakan kepada rakannya itu dia kini
kecewa kerana putus cinta dengan seorang wanita.
“Dia tidak beritahu pula siapa wanita itu,” kata rakan
arwah.
Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital
Dungun untuk bedah siasat bagi mengesahkan punca
kematian.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd
Noor mengesahkan kejadian dan kes masih dalam
siasatan pihaknya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan