Selasa, 12 Mac 2013

Gegar Velodrom New Delhi

Kuala Lumpur: Skuad trek negara
mempamerkan kemampuan
sebagai jaguh Asia apabila
menggegar di hari terakhir
Kejohanan Lumba Basikal Asia
(ACC) di India semalam dengan
meraih lima pingat emas.


Saingan di Velodrom Kompleks
Sukan Indira Gandhi di New Delhi
itu menyaksikan dua pelumba elit
negara, Josiah Ng mencuri
tumpuan dengan memenangi acara
keirin dan 200 meter pecut lelaki
manakala Fatehah memenangi
acara 200 meter pecut wanita.

Turut perlu diberi perhatian
adalah pelumba berusia 16 tahun
yang memenangi acara satu
kilometer ujian masa sebelum ini,
Muhammad Firdaus Mohd Zonis
yang menguasai acara pecut 200
meter dan keirin remaja sekali gus
mengumpul tiga pingat emas.

Pada aksi terakhir semalam, tuaian
emas negara dimulakan Fatehah
yang menyambut hari lahirnya
ke-24 hari ini apabila memenangi
pecut 200 meter menewaskan
pelumba China, Shi Jingjing pada
aksi yang membabitkan tiga
perlumbaan namun terpaksa
berpuas hati apabila sekadar
memenangi perak dalam final
keirin.

Namun Josiah sebaliknya
mengungguli acara keirin sekali
gus mempertahankan pingat emas
dimenanginya di Kuala Lumpur
pada tahun lalu selepas terlebih
dulu turun dalam acara akhir 200
meter pecut lelaki untuk
menafikan kelibat pelumba Iran,
Hassanali Varposhti dalam dua
perlumbaan saja.

“Ini sangat indah. Sudah lama saya
menanti detik ini,” kata Josiah yang
gembira dengan kejayaan
mengungguli dua acara utama itu.

Kejayaan terbabit turut
menggembirakan pengurus
pasukan negara, Ibrahim Mustafa
yang puas hati dengan prestasi
dipamer pelumba negara sama ada
elit atau pelapis.

“Tujuh pingat emas diraih sesuatu
yang di luar jangkaan. Kita meraih
dua pingat emas pada hari
pertama acara trek dan lima pingat
emas pada hari terakhir. Namun
yang pasti ia amat
membanggakan,” katanya.

Mengenai prestasi skuad elit
negara yang meraih tiga pingat
emas, Ibrahim berkata, mereka
mencapai tahap diharapkan selaku
pelumba yang mampu beraksi di
pentas lebih tinggi.

“Josiah dan Fatehah menepati tahap
sebenar, Azizulhasni (Awang)
mungkin berdepan masalah yang
membataskan prestasinya di ACC,”
katanya.

Saingan acara trek ditutup
semalam dengan tumpuan kini
beralih kepada pelumba acara
lebuh raya negara yang menyertai
beberapa acara dipertandingkan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan