Ipoh: Apa saja keputusan diraih
skuad negara pada hari terakhir
saingan Piala Sultan Azlan Shah
hari ini, pujian wajar diberikan
kepada mereka kerana terus
berjaya mempamer perkembangan
positif sejak Paul Revington
membimbing pasukan, Ogos tahun
lalu.
Prestasi skuad negara juga boleh
dianggap sebagai kebangkitan
semula hoki negara selepas
mencatat keputusan hambar sejak
beberapa tahun lalu, termasuk
gagal layak ke temasya Sukan
Olimpik di London buat kali ketiga
berturut-turut.
Kali terakhir skuad negara layak
ke temasya sukan terbesar itu pada
2000 ketika disertai nama besar
seperti Mirnawan Nawawi.
“Mereka mula faham tentang sikap
untuk terus memberikan saingan
hingga minit akhir. Mentaliti
seperti inilah yang diperlukan
andai bertemu pasukan yang
menduduki ranking 10 terbaik
dunia.
“Perubahan ini bukan hasil
sumbangan saya sahaja tetapi ia
adalah kerjasama semua anggota
pengurusan skuad negara.
“Cuma seperti yang saya sering
ingatkan sebelum ini, saya mahu
pemain mempunyai corak
pemikiran yang sentiasa positif dan
cuba menang setiap perlawanan,”
kata Revington.
Bermula dengan tugasan
pertamanya pada Cabaran Juara-
Juara 1 di Argentina, Revington
terus berjaya memberi impak
positif dalam skuad negara apabila
mereka berjaya mempertahankan
kedudukan ketiga Trofi Juara-
Juara Asia di Doha hujung tahun
lalu, mengulangi kejayaan di Ordos
setahun sebelum itu di bawah
kendalian Tai Beng Hai.
Prinsip pengendali dari Afrika
Selatan itu mudah, beliau mahukan
peningkatan daripada anak
buahnya pada setiap perlawanan
dan lebih penting ialah Revington
sentiasa mensasarkan kemenangan
tidak kira apa saja saingan yang
dilalui skuad negara.
Buktinya, skuad negara mencatat
kemenangan pada tiga siri
perlawanan persahabatan dengan
Ireland serta satu kemenangan ke
atas juara bertahan Piala Sultan
Azlan Shah, New Zealand sebelum
bermulanya saingan edisi ke-22 itu.
Revington juga seorang yang
begitu menghargai sumbangan
setiap pemainnya dan antara yang
mendapat pujian setakat ini ialah
penjaga gawang, S Kumar dan
penyerang veteran, Chua Boon
Huat.
“Kumar melalui saat yang
mengecewakan di Liga Hoki India
tapi dia kembali bersama skuad
negara dengan prestasi yang
cukup bagus. Begitu juga dengan
Boon Huat, saya tidak pernah
meragui keupayaannya,” katanya.
Mentaliti sentiasa mahukan
kemenangan itu sebenarnya agak
berat untuk dipikul setiap pemain,
tetapi itulah juga yang berjaya
membawa perubahan besar dalam
skuad negara ketika ini.
Namun ia tidak bermakna
Revington mengamalkan corak
latihan yang keras dan teruk,
sebaliknya beliau lebih bersikap
terbuka dan sentiasa meletakkan
kepercayaan sepenuhnya kepada
setiap barisan pemainnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan