Kuala Terengganu: Di sebalik
kejayaan Terengganu mencatat
empat kemenangan berturut-turut
termasuk saingan Piala FA, timbul
perasaan kurang senang
penyokong mengenai prestasi tidak
konsisten penyerang import dari
Cameroon, Jean Emmanuel Effa
Owona yang boleh dianggap
‘parasit’ dalam kesebelasan utama
skuad Penyu.
Malah, pemain yang mencetuskan
kontroversi di awal musim antara
Terengganu dan Negeri Sembilan
berhubung isu perpindahan itu
juga dilihat kurang menyengat.
Ketika berdepan T-Team Jumaat
lalu, tidak kurang tiga peluang
keemasan gagal disempurnakan
pemain berusia 29 tahun itu.
Corak permainan tidak konsisten
itu jelas mengecewakan kira-kira
10,000 penonton yang hadir untuk
menyaksikan penyerang meledak
jaringan seperti aksinya ketika
menyarung jersi Rusa musim lalu.
Sementara itu Presiden PBSNT
Datuk Che Mat Jusoh berkata,
prestasi Owona akan dipantau bagi
memastikan dia terus menjadi
senjata pemusnah pasukan.
“Setakat ini saya belum mendapat
laporan bertulis berhubung
prestasinya tapi Owona dan pemain
lain perlu meningkatkan prestasi.
“Saya turut mengingatkan
jurulatih perlu mengambil
perhatian serius terhadap pemain
yang gagal meningkatkan prestasi
sebelum amaran dikeluarkan
PBSNT,” katanya.
Seorang peminat dari Gong Badak,
Amaliza Ismail berkata, dia
mengharapkan PBSNT melakukan
sesuatu ke atas pemain itu supaya
pasukan tidak ketandusan jaringan
kerana saingan liga masih panjang
selain skuad Penyu berjaya
melangkah ke suku akhir Piala FA
bertemu Negeri Sembilan.
“Saya hairan kenapa pemain itu
musim ini tidak berbisa, musim
lalu ketika mewakili Negeri
Sembilan, dia muncul pemenang
kasut emas bersama penyerang
import Terengganu, Francis Forkey
Doe dengan 14 gol tapi kini baru
empat jaringan dihasilkan,”
katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan