Selasa, 26 Mac 2013

Peluang Cerah Kembang Karier

Prospek untuk dua
pemain muda negara Wan Zack
Haikal Wan Nor dan Nazirul Naim
Che Hashim mengembangkan
karier ke peringkat lebih tinggi
kini terbuka luas biarpun mereka
hanya dipikat kelab Liga Divisyen
Tiga Jepun, FC Ryukyu.


Kedua-dua pemain Harimau Muda
A itu sudah menandatangani
kontrak bersama kelab yang
berpangkalan di Okinawa itu dan
berpeluang mempamerkan
kemampuan untuk memikat
pencari bakat kelab ternama di
Jepun selepas ini.

Namun ini terpulang kepada Wan
Zack, 22, dan Nazirul, 19, untuk
mengambil peluang dan apa yang
perlu dilakukan terlebih dulu,
merebut tempat dalam kesebelasan
utama FC Ryukyu.

Naib Presiden Eksekutif FC
Ryukyu Sotaro Shinoda yakin
dengan potensi dimiliki kedua-dua
pemain negara ini dan kelabnya
boleh menjadi platform terbaik
untuk mereka melangkah lebih
jauh.

“Jika mereka bermain dengan baik,
tidak mustahil ada kelab besar
Liga Jepun mahu mengambil
mereka selepas ini. Kami tidak
akan menyekat jika mereka
mendapat tawaran lebih baik
kerana kelab kami akan berbangga
menjadi tempat permulaan karier
mereka,” katanya ketika ditemui
selepas majlis pengumuman rasmi
Wan Zack Haikal dan Nazirul
sebagai pemain FC Ryukyu
semalam.

Shinoda berkata, tiada layanan
istimewa akan diberikan kepada
kedua-dua pemain negara
sebaliknya mereka perlu bersaing
merebut tempat dalam skuad yang
kini memiliki 29 pemain itu,
termasuk dua pemain import dari
Korea Selatan dan seorang, Brazil.

“Jika mereka cergas, menunjukkan
prestasi baik dalam latihan serta
cepat menyesuaikan diri dengan
pasukan, mereka pasti diberi
peluang bermain dalam
kesebelasan utama.

“Mereka bagus,
mempunyai kemahiran, kepantasan
dan berbakat, saya harap mereka
akan cepat mendapat tempat dalam
skuad utama,” katanya yang
berlepas pulang ke Jepun bersama
Wan Zack Haikal dan Nazirul
semalam.

Wan Zack Haikal yang beraksi di
posisi sayap menandatangani
kontrak selama dua tahun pada
Sabtu lalu manakala Nazirul,
pemain pertahanan kiri hanya
menerima kontrak selama setahun.

Shinoda bagaimanapun
menjelaskan pihaknya membuat
penilaian tersendiri sebelum
mengemukakan tawaran itu.

“Kami sudah mengikuti
perkembangan Wan Zack Haikal
sejak pusingan kelayakan Olimpik
tahun lalu hingga sekarang dan
mengenali kemampuannya.

“Kami
hanya menilai kemampuan Nazirul
hasil pemerhatian ketua jurulatih
dalam latihan minggu lalu dan
hanya menawarkan kontrak
setahun.

“Tapi jika dia beraksi
dengan baik, kontraknya akan
disambung. Peluang Nazirul cerah
kerana kelab di Jepun memang
sukar mendapatkan pemain
pertahanan kiri yang bagus.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan