Kritikan pengendali
skuad kebangsaan Datuk K
Rajagobal mengenai kehadiran
pemain import dalam Liga
Malaysia (Liga-M) akhirnya
menjerat dirinya sendiri apabila
beliau bakal didakwa atas
kesalahan melanggar Artikel 88
Statut Persatuan Bolasepak
Malaysia (FAM).
Dengan kedudukannya mula goyah
berikutan aksi kurang
memberangsangkan Harimau
Malaya sejak akhir-akhir ini,
jurulatih berusia 56 tahun itu
berdepan satu lagi tekanan apabila
surat pertuduhan ke atasnya akan
dihantar minggu depan sebelum
beliau menghadap Jawatankuasa
Tatatertib.
Keputusan untuk membuat
pendakwaan itu diumum Datuk
Taufek Abd Razak selepas
mempengerusikan mesyuarat
Jawatankuasa Tatatertib yang
berlangsung lebih empat jam
semalam.
“Kita sudah berbincang dengan
panjang lebar untuk menentukan
sama ada ia ada merit atau tiada
merit. Merit bukan bermakna
Rajagobal bersalah tapi kita buat
keputusan kertas pertuduhan akan
dihantar kepada Rajagobal.
“Ini bermakna kami mempunyai
kes untuk mendakwa Rajagobal di
bawah Artikel 88,” katanya ketika
ditemui pemberita di Wisma FAM
semalam.
Siasatan Jawatankuasa Tatatertib
ke atas Rajagobal bermula selepas
jurulatih kebangsaan itu
menyuarakan rasa tidak puas hati
terhadap prestasi pemain
penyerang negara apabila tumpas
kepada Arab Saudi 1-4 pada aksi
persahabatan pada 17 Mac lalu.
Dalam sidang media selepas
perlawanan di Stadium Shah Alam
itu, beliau didakwa menyentuh
dasar FAM dengan menyatakan
penyerang import lebih mendapat
tempat dalam pasukan teratas Liga
Super yang mengakibatkan negara
ketandusan penyerang semulajadi.
Sebelum ini, B Sathianathan dipecat
FAM pada Februari 2009 gara-
gara kenyataan pedasnya ‘Liga-M
bukan bola sepak’ selepas
menyaksikan skuad kebangsaan
kendaliannya tumpas 0-5 kepada
Emiriah Arab Bersatu (UAE)
dalam kempen kelayakan Piala Asia
2011.
“Ya, pertuduhan ini dikeluarkan
kerana beliau didakwa mengkritik
dasar FAM, ini berdasarkan
laporan akhbar,” kata Taufek.
Beliau berkata, Rajagobal perlu
menjawab surat pertuduhan
terlebih dulu sebelum dibicarakan
dalam tempoh terdekat ini.
Rajagobal yang mempunyai
kontrak hingga Disember ini
membimbing skuad kebangsaan
memenangi pingat emas Sukan
SEA Laos pada tahun pertama
dilantik sebagai jurulatih
kebangsaan pada 2009 sebelum
menjuarai Piala AFF pada 2010.
Sementara itu, Jawatankuasa
Tatatertib turut membuat
keputusan untuk mendakwa
beberapa pemain Selangor atas
insiden pergaduhan dengan pemain
ATM selepas perlawanan pusingan
pertama Piala FA Januari lalu.
Taufek bagaimanapun enggan
mendedahkan nama pemain
terbabit namun kemungkinan
jumlahnya sama dengan pemain
ATM yang dihukum minggu lalu.
“Kita bersetuju membuat
pendakwaan ke atas pemain
tertentu (Selangor), saya tidak
boleh dedahkan nama pemain
terbabit. Tunggu surat
pertuduhan dibuat,” katanya yang
memanggil jurulatih Selangor Irfan
Bakti Abu Salim dan ATM
Sathianathan untuk memberikan
keterangan.
Walaupun Sathianathan hadir
memberikan keterangan,
jawatankuasa itu menetapkan tidak
akan menilai semula keputusan
dikenakan ke atas pemain ATM
sebelum ini.
Empat pemain ATM, Mohd Fitri
Omar digantung empat
perlawanan dan denda RM1,000, G
Jeevanthan dan R Surendran
masing-masing digantung tiga
perlawanan, denda RM1,000 dan
RM1,500 manakala Mohd Shukor
Adan yang tidak mengaku salah
digantung dua perlawanan selain
denda RM1,500.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan