
KETUA jurulatih, Datuk K.
Rajagobal mencabar pemain skuad
Harimau Malaya membuktikan
kebolehan mereka pada aksi
persahabatan menentang Arab
Saudi di Stadium Shah Alam
malam ini.
Beliau berkata, pemain yang diberi
peluang perlu mempamerkan
persembahan terbaik bagi
mengukur persiapan mereka
menjelang perlawanan menentang
Yemen pada kempen Kumpulan D
kelayakan Piala Asia 2015 di
gelanggang sama 22 Mac ini.
Malaysia tewas 0-2 kepada Qatar
pada perlawanan pembukaan di
Stadium Al-Sadd, Doha pada 6
Februari lalu.
"Saya tidak mahu pemain
memandang ringan perlawanan ini
kerana ia merupakan aksi penting
untuk saya menilai prestasi mereka
menjelang pertemuan menentang
Yemen nanti.
"Perlawanan ini juga memberi
peluang terbaik kepada anak-anak
buah saya untuk membuktikan
kebolehan mereka apabila
menentang antara pasukan terkuat
Asia," katanya kepada pemberita
selepas mesyuarat pengurus
pasukan di Wisma FAM, Kelana
Jaya semalam.
Rajagobal berkata, tiga pemain
Harimau Malaya tidak dapat
beraksi pada perlawanan malam ini
akibat kecederaan.
Mereka ialah pemain sayap, Wan
Zack Haikal Wan Nor, pemain
pertahanan skuad Angkatan
Tentera Malaysia (ATM),
Amiridzwan Taj Tajudin dan
pemain pertahanan Kelantan, Nik
Mohd. Shahrul Azim Abdul Halim.
"Wan Zack dan Amiridzwan
mengalami kecederaan ketika
menjalani latihan pusat manakala
Mohd. Shahrul cedera teruk di
bahagian buku lali ketika beraksi
pada Piala AFC dengan skuad
Kelantan baru- baru ini," katanya.
Sementara itu, wakil Persekutuan
Bola Sepak Arab Saudi (SAFF),
Khalied Al-Woeiser berkata,
perlawanan persahabatan itu
merupakan sebahagian daripada
persiapan negara itu untuk
menentang Indonesia bagi
perlawanan Kumpulan C pusingan
kelayakan Piala Asia 2015 di Gelora
Bung Karno, Jakarta pada 23 Mac.
"Kami pilih Malaysia untuk
mengadakan perlawanan
persahabatan kerana negara ini
mempunyai persamaan dari segi
cuaca dengan Indonesia.
"Jurulatih kami (Juan Ramon Lopez
Caro) juga akan menurunkan
barisan terkuat ketika menentang
Malaysia sebagai persiapan
menghadapi Indonesia," katanya.
Setakat ini, Arab Saudi menduduki
tangga teratas dalam Kumpulan C
setelah mengalahkan China 2-1 di
Damman, Arab Saudi pada 6
Februari lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan