Ahad, 17 Mac 2013

"Usah Pindah"

London: Pengurus Fulham Martin
Jol menggesa Gareth Bale untuk
terus kekal di Tottenham dan
menjadi legenda di White Hart
Lane.


Jol mengendalikan Spurs ketika
Bale menyertai kelab itu dari
Southampton dan mereka kembali
bersatu apabila dia membawa
pasukannya, Fulham untuk
berdepan anak buah Andre Villas-
Boas di utara London, malam ini.

Bale yang kembali menyertai
barisan pemain Spurs tidak
beraksi sewaktu pasukannya tewas
kepada Inter Milan pada aksi Liga
Europa dijangka menerima
tawaran lumayan daripada kelab
ternama Eropah sebaik musim ini
berakhir.

Begitupun bekas pengurusnya
percaya pemain tengah Wales itu
lebih baik jika terus bersama
Spurs.

“Saya lihat Bale di Southampton
ketika dia berusia 15 tahun, kami
memantaunya dan pasukan lain
cuba mendapatkannya tapi saya
memberi kata dua kepada ibunya
untuk meyakinkan pemain itu
datang menyertai Spurs,” kata Jol.

“Apa yang saya jangkakan memang
benar, dia pemain terbaik di Liga
Perdana Inggeris ketika ini dan
membuktikannya setiap minggu.

“Saya menurunkannya pada
perlawanan pertama menentang
Manchester United dan statistik
ditunjukkannya lebih baik
daripada pemain lain biarpun
ketika itu dia baru berusia 17
tahun.

“Saya harap dia terus kekal demi
Spurs dan liga ini kerana kelab itu
yang terbaik untuknya. Dia
menjadi semakin kuat dan lebih
baik sebagai seorang penyerang.

“Spurs sebuah kelab besar dengan
kumpulan penyokong yang besar
dan dia boleh menjadi legenda di
sana. Jika dia mahu melakukan
perkara lebih hebat di negara lain,
ia mendatangkan risiko. Tidak
semuanya membawa tuah.” Spurs
turun menentang Fulham selepas
mempamerkan aksi tidak
meyakinkan di San Siro yang
hampir menjejaskan peluang ke
suku akhir Liga Europa.

Skuad Villas-Boas kembali memiliki
jentera serangan lebih hebat
berbanding di Itali dengan
kepulangan Bale dan bekas
penyerang Fulham Clint Dempsey
yang turut pulih daripada
kecederaan. Dimitar Berbatov akan
mengetuai serangan Fulham ke
atas bekas kelabnya manakala Steve
Sidwell disahkan cergas selepas
mengalami kecederaan di
Sunderland.

Tottenham kini berada di tangga
ketiga liga, dua mata di depan
Chelsea di tempat keempat dan
memburu tiket ke Liga Juara-Juara
musim depan selepas gagal tahun
lalu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan