Johor Bahru: Walaupun hanya dibarisi
pemain bawah 23 tahun dan kehadiran
beberapa pemain senior, LionsXII mampu
menidakkan penguasaan pasukan negeri dan
kelab dari Malaysia apabila muncul juara
Liga Super musim ini tanpa kelibat pemain
import mahupun pemain naturalisasi.
Senario itu nyata memberi tamparan buat
pasukan negeri dan kelab yang berbelanja
besar bagi menguatkan barisan pemain
masing-masing, namun terpaksa akur dengan
pasukan dari Seberang Tambak Johor itu
yang hanya baru dua musim beraksi pada
saingan Liga Malaysia (Liga M).
LionsXII nyata mengambil kesempatan
tatkala beraksi di padang rumput mengekalkan
rekod bersih tanpa kekalahan sepanjang aksi
pasukan itu di Stadium Jalan Besar sekali
gus mencipta sejarah tersendiri menjulang
kejuaraan liga selepas kali terakhir meraih
kejuaraan itu pada 1994 yang ketika itu
dikenali sebagai Liga Perdana.
“Kami hanya
mempertaruhkan antara dua atau tiga pemain
senior dan selebihnya pemain bawah 23 tahun
yang menggalas tugas setiap aksi saingan liga
yang begitu mencabar dan berliku pada musim
ini dan saya lega apabila pemain muda itu
dapat melaksanakan tugas dengan baik.
“Bagi saya tiada pasukan lemah pada saingan
liga musim ini sebaliknya kesemua pasukan
hebat malah kami terpaksa merombak pemain
musim ini dan hampir kehilangan Shahril
Ishak, Baihakki Khaizan dan Isa Halim
yang pada awalnya mahu beraksi di Liga
Thailand namun hasil pujukan mereka kekal
bersama LionsXII.
“Itu dugaan paling perit dan semua kerja
keras sejak Januari itu bagaikan terjawab
sebaik tamat perlawanan, saya dan seluruh
pengurusan Persatuan Bolasepak Singapura
(FAS) teruja. Malah selepas 19 tahun
muncul juara liga ketika itu, ternyata
pembabitan semula dalam kancah Liga M
sejak dua musim lalu amat berbaloi apabila
berdepan pasukan terbaik Liga M,” katanya.
Mengulas kemenangan besar LionsXII
menewaskan FELDA United 4-0,
Sundramoorthy berkata, pemainnya pada
babak pertama terlalu ghairah untuk mencipta
jaringan, mengakibatkan beberapa percubaan
yang seharusnya mampu diterjemah dengan
jaringan dipersia-siakan.
“Kita terlepas banyak peluang terhidang dan
apabila di bilik persalinan pada akhir babak
pertama, saya arah pemain supaya lebih
tenang dan tidak terlalu ghairah mencari gol
dan ternyata ia berhasil.
“Tumpuan seterusnya pada saingan Piala
Malaysia dan berharap undian kelak
memihak kepada LionsXII. Jika musim lalu
hanya mampu ke separuh akhir, tidak
mustahil musim ini kami beraksi di final pula,
namun semua bergantung kepada permainan
konsisten sepanjang kempen itu,” kata
Sundramoorthy.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan