TERENGGANU menyapu bersih lima
pingat emas pada hari terakhir acara
mendayung Sukan Malaysia (Sukma) 2013 di
Pusat Latihan Mendayung Kebangsaan,
Empangan Batu, Ulu Yam semalam.
Kejayaan itu mengukuhkan kedudukan
Terengganu selaku kuasa besar acara
mendayung pada temasya Sukma kali ini
apabila mengumpul keseluruhan lapan pingat
emas dan satu perak.
Ketua jurulatih mendayung Terengganu,
Mohd. Shahrol Mat Saad berkata, beliau
sangat berpuas hati dengan pencapaian tersebut
kerana anak-anak didiknya berjaya melepasi
sasaran yang telah diletakkan.
“Pada Sukma 2011, kami meraih lima emas,
satu perak dan dua gangsa, jadi kali ini saya
mahu menaikkan sasaran itu kepada enam
emas, mungkin tiga daripada kategori lelaki
dan selebihnya daripada perempuan.
“Begitupun, atlet kami tampil hebat dan
bersemangat pada Sukma tahun ini apabila
meraih lapan emas dan lebih menggembirakan,
hari ini (semalam) mereka sapu bersih
kelima-lima emas acara final,” kata Shahrol
ketika ditemui pemberita semalam.
Terengganu mengungguli kesemua kategori
wanita semalam menerusi Nur Fatiha Che
Yon Rosni (individu scull), Nor Shazlin Che
Adnan-Che Ku Nurul Asma’ Che Ku
Abdullah (lightweight berpasangan scull), Yeni
Ernita Daswir-Eleonie Rikan Marten
(berpasangan) serta gandingan Ika Natasha
Yahya, Siti Niartun Aniqah Anirad,
Kasyifah Mohiddin dan Siti Ratin Nabilah
Mohd. Ashini (lightweight berempat).
Satu lagi pingat emas hadir menerusi
gandingan Abdul Rasyid A. Hasan, Amirul
Asraf Rosmawi, Mohamad Zailudin
Abdullah, Mohammad Ikram Abdul Aziz,
Muhammad Shazzmmir Roslan, Mohamad
Hanif Azmi, Syed Muhammad Iskandar
Putra Syed Abdul Fattah, Abdul Hadi
Omar dan Mohamad Firdaus Nordin
dalam saingan coxed lapan berpasukan lelaki.
“Kelebihan yang saya lihat ada pada mereka
ialah semangat dan kerja keras yang
ditunjukkan. Mereka akan datang lebih awal
daripada waktu yang saya berikan dan
berlatih bersungguh-sungguh.
“Saya percaya jika mereka mampu
mengekalkan konsistensi itu, mereka mampu
pergi lebih jauh,” ujar Shahrol.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan