Jumaat, 15 Ogos 2014

Masyarakat Malaysia Di New York Demam Pesta Bola Merdeka

Masyarakat Malaysia
yang berada di kawasan pantai
timur Amerika Syarikat boleh
dikatakan mengalami demam
Pesta Bola Merdeka yang diadakan
di sini pada Sabtu dan Ahad.

Tarikan utama kejohanan kali ini
yang dianjurkan buat kali ketujuh
berturut-turut ialah kehadiran 20
pemain yang diterbangkan khas
dari Malaysia.

Sesetengah pemain turut
membawa bersama isteri mereka
untuk seperti yang dikatakan
seorang pemain 'memberi
sokongan dan turut bersorak di
tepi padang'.

Sukarelawan masyarakat
Malaysia, Katherina To yang
tinggal di Elmhurst, New York dan
aktif menganjur aktiviti yang
melibatkan rakyat Malaysia,
berkata kejohanan yang diberi
nama 'Merdeka Cup USA' itu
diadakan di New York sejak 2008
sebagai edisi tempatan kejohanan
Pesta Bola Merdeka yang diadakan
di Malaysia, bagi merayakan
sambutan Hari Kemerdekaan
negara.

"Kami mengadakan kejohanan
pada hujung minggu dalam bulan
Ogos agar kami mempunyai
kehadiran yang ramai ke
kejohanan," katanya.
Menurut beliau, tujuh pasukan
mengambil bahagian.

Persatuan Malaysia Amerika
(MAA), konfederasi kepada
beberapa persatuan tempatan
menganjurkan acara tersebut
dengan bantuan kewangan
syarikat logistik Malaysia 'Wen-
Parker Logistics' yang
berpangkalan di New York yang
membiayai perjalanan pemain dari
Malaysia yang sesetengahnya
membawa bersama isteri mereka.

"Perlawanan tersebut sangat
menceriakan," kata Jimmy Tan,
Presiden MAA.

Beliau berkata, antara pemain
yang mengambil bahagian ialah
bekas pemain Pesta Bola Merdeka
sendiri, Datuk Soh Chin Aun, 64,
yang masih berupaya
mengembirakan penonton dengan
aksinya menggelecek bola
menewaskan pemain lebih muda.

"Kejohanan persahabatan ini
berjaya mempromosi perlawanan
persahabatan dalam kalangan
rakyat Malaysia di sini dan
mengeratkan lagi antara satu
sama lain menerusi semangat
kesukanan," kata Tan.

Pemain dan penonton turut
memberi penghormatan kepada
mendiang Wong Choon Wah,
seorang lagi ikon negara yang
meninggal pada Januari 2014.

Pasukan Chin Aun akhirnya
muncul juara.

"Saya telah beberapa kali melawat
New York, tetapi ini kali kedua
saya menyertai kejohanan Pesta
Bola Merdeka USA," katanya
ketika dirai pada majlis makan
malam di sebuah restoran di
China Town yang turut dihadiri
Konsul Jeneral Malaysia, Abdul
Razak Abdul Wahab.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan